TAWAU, 15 JULAI 2026 – Seorang peniaga dijatuhi denda keseluruhan RM12,300 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini selepas mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan berkaitan kesalahan lalu lintas, termasuk gagal melaporkan kemalangan kepada polis dan meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti.
Keputusan itu dibuat Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas tertuduh, Chung Chi Fui, 24, mengaku bersalah sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan mahkamah.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu sebuah Toyota Hilux didapati terbabit dalam satu kemalangan di Jalan Chong Thien Vun pada kira-kira jam 3.30 pagi, 28 Jun lalu. Bagaimanapun, dia gagal membuat laporan polis dalam tempoh 24 jam seperti yang ditetapkan selain tidak memberhentikan kenderaannya selepas insiden berkenaan.
Bagi kesalahan itu, Chung didakwa mengikut Seksyen 52(1) dan Seksyen 52(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM12,000 atau penjara jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, dia turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) dan Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan menggunakan kenderaan dengan lesen cukai jalan yang telah tamat tempoh serta memandu secara melulu.
Semasa prosiding, tertuduh yang hadir tanpa diwakili peguam merayu supaya dikenakan denda minimum dengan alasan berdepan kesulitan kewangan. Dia turut memohon belas ihsan mahkamah dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan tersebut.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee, memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Pihak pendakwaan berhujah bahawa tertuduh dipercayai sengaja tidak membuat laporan polis kerana bimbang disiasat serta diarahkan menjalani ujian pernafasan selepas disyaki berada di bawah pengaruh alkohol ketika kemalangan berlaku.
Pendakwaan turut memaklumkan bahawa rakaman kejadian itu telah tular di Facebook seawal hari kejadian. Namun, tertuduh tidak tampil membuat laporan secara sukarela, sebaliknya hanya hadir ke Pejabat Trafik selepas berjaya dikesan dan diarahkan oleh pegawai penyiasat.
Selepas mempertimbangkan pengakuan bersalah, fakta kes serta hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan RM12,300 terhadap tertuduh. – DAKWAT RAKYAT POST
