KUANTAN: Seorang anggota polis trafik berpangkat koperal dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,000.
Hakim Sazlina Safie menjatuhkan hukuman itu ke atas Ahmad Amin Khairul Komar, 42, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
Tertuduh dihukum penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan, namun mahkamah memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan menerima RM1,000 menerusi pindahan wang secara dalam talian daripada seorang individu ke dalam akaun isterinya antara 3 Oktober 2017 hingga 2 Mac 2018.
Bagi semua pertuduhan berkenaan, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad, manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Melissa Sukri.
Terdahulu, Melissa memohon pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, namun dibantah pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan menangguhkan hukuman penjara, dan mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, selain pasport antarabangsa disimpan mahkamah.
Kredit sumber: Berita Harian
