KOTA KINABALU, 16 Julai 2026 – Kelab Tinju Profesional Kinabalu (KTPK) menjalin kerjasama strategik dengan European Wellness Sports Science Regenerative Centre (EW-SSRC) menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan sukan tinju profesional di Sabah.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada pembangunan atlet, penggunaan teknologi pemulihan serta aplikasi perubatan regeneratif bagi meningkatkan prestasi dan kebajikan petinju di negeri ini.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan kesungguhan pelbagai pihak dalam memperkasakan arena tinju profesional selain meningkatkan standard penjagaan atlet di Sabah.
Ucapan beliau disampaikan oleh wakilnya, Francis Chung, ketika sidang media sempena Kejohanan BAM Championship yang berlangsung di European Wellness Premier Centre, Kota Kinabalu, hari ini.
Menurut beliau, gabungan sains sukan, teknologi pemulihan dan perubatan regeneratif mampu membantu atlet mempercepat proses pemulihan daripada kecederaan serta mengekalkan tahap prestasi terbaik ketika bertanding.
Katanya, pemilihan Sabah sebagai lokasi pelaksanaan kerjasama itu menunjukkan keyakinan terhadap potensi negeri ini sebagai hab pembangunan sukan berprestasi tinggi, sekali gus membuka ruang kepada lebih banyak pelaburan dan kerjasama dalam industri sukan.
Beliau turut menegaskan bahawa aspek kesihatan atlet perlu diberi perhatian sama penting dengan pencapaian mereka di gelanggang, dan kerjasama tersebut dijangka menjadi penanda aras baharu dalam penjagaan atlet sukan tempur profesional.
Sementara itu, Setiausaha KTPK, Zairul berkata, kerjasama berkenaan memberi peluang kepada petinju Sabah untuk memanfaatkan kemudahan teknologi pemulihan kecederaan serta kepakaran dalam bidang perubatan sukan bagi meningkatkan prestasi mereka.
Beliau menggalakkan atlet tempatan menggunakan peluang itu untuk mempertingkatkan mutu latihan melalui pendekatan moden serta pengetahuan yang lebih menyeluruh dalam pembangunan atlet.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Lembaga Sukan Negeri Sabah, European Wellness serta Persekutuan Tinju Profesional Malaysia (MPBF) atas sokongan yang diberikan dalam menjayakan Kejohanan BAM Championship.
Menurutnya, kejohanan tersebut menerima sambutan menggalakkan dengan penyertaan petinju, jurulatih dan pengurus pasukan yang telah menjalani persiapan selama dua hingga tiga bulan.
Katanya, atlet yang mengambil bahagian datang dari beberapa daerah di Sabah termasuk Sandakan, Tongod, Tambunan, Penampang dan Kota Kinabalu.
Beliau berharap kerjasama erat antara badan sukan, agensi kerajaan dan sektor swasta dapat diteruskan bagi melahirkan lebih ramai petinju profesional dari Sabah yang berupaya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Majlis pemeteraian MoU antara EW-SSRC dan KTPK itu menjadi langkah penting dalam memperkukuh pembangunan atlet serta merancakkan lagi perkembangan industri tinju profesional di Sabah.
Dalam perkembangan sama, Kejohanan BAM Championship dijadual berlangsung pada Jumaat, 17 Julai, di Dewan Sri Putatan, Kota Kinabalu.
Perlawanan awal akan bermula dari jam 4 petang hingga 6 petang dan disiarkan secara langsung menerusi Facebook, YouTube serta TV Sabah. Sementara itu, aksi utama bermula pada jam 7 malam dan boleh ditonton melalui perkhidmatan bayar-per-tonton (PPV) di platform TV Sabah OTT. – DAKWAT RAKYAT POST
