TAWAU: Seorang remaja lelaki direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun, di sebuah hotel bajet.
Perintah reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin bagi membenarkan pihak polis meneruskan siasatan dibawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
Permohonan reman terhadap suspek dikemukakan Pegawai Penyiasat, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri.
Berdasarkan fakta kes yang dikemukakan di mahkamah, mangsa dipercayai keluar dari rumah pada 14 Julai lalu untuk ke sekolah di Jalan Apas.
Bagaimanapun, abang mangsa kemudian dimaklumkan oleh guru kelas bahawa mangsa tidak hadir ke sekolah pada hari berkenaan.
Abang mangsa seterusnya menghubungi pemandu van sekolah dan dimaklumkan mangsa sudah dihantar berhampiran sebuah jejantas di luar kawasan sekolah.
Mangsa kemudiannya ditemukan berada bersama seorang wanita di sebuah rumah sebelum dibawa oleh abangnya ke balai polis untuk membuat laporan.
Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibawa ke sebuah hotel bajet di daerah ini dan melakukan hubungan seksual dengan suspek.
Bertindak atas laporan itu, suspek ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2 petang pada 16 Julai lalu.
