OLEH: NASRAWATI SYARIFUDDIN
TAWAU: Seorang guru disiplin dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas didapati bersalah melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun, empat tahun lalu.
Hakim Ahmad Faizadh Yahaya menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh berusia 37 tahun itu, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.
Mengikut pertuduhan itu, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu guru, melakukan amang seksual bukan fizikal dengan mengeluarkan perkataan berunsur lucah, memegang dan menarik tangan mangsa bagi maksud seksual.
Kesalahan itu dilakukan di pusat sumber sebuah sekolah menengah di Semporna, jam 9.20 pagi, 19 April 2022.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan tambahan penjara setahun serta dua sebatan mengikut Seksyen 16 akta sama.
Tertuduh turut diperintahkan menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh tahanan mengikut Seksyen 26 akta sama dan pengawasan polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukuman mengikut Seksyen 27.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman dengan wang jaminan ditambah sebanyak RM5,000 menjadikan jumlah keseluruhan RM15,000.
Penangguhan itu dipohon peguam tertuduh, Luke Ressa Balang dan Hairul Vaiyron Othman.
Sementara itu, tertuduh turut dilepas dan dibebaskan bagi pertuduhan berasingan iaitu melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang lagi pelajar perempuan berusia 17 tahun, selepas pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
Mengikut pertuduhan berkenaan, dia didakwa melakukan perbuatan seksual terhadap mangsa di sebuah bilik pusat sumber sekolah yang sama, kira-kira jam 12 tengah hari, 15 Februari 2022.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 akta sama.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin memohon hukuman berbentuk pencegahan dan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang menyalahgunakan kuasa serta amanah sebagai seorang pendidik.
Dalam penghakiman bagi pertuduhan amang seksual bukan fizikal pula, mahkamah mendapati keterangan mangsa berhubung kata-kata lucah dan perbuatan menarik tangan mangsa kekal konsisten dan tidak berubah, manakala tertuduh sendiri mengakui berlaku sentuhan tangan ketika penyerahan telefon bimbit.
Mahkamah turut mengambil kira tindakan mangsa tidak menduduki peperiksaan Matematik, menunjukkan tekanan emosi ketika di rumah dan berpindah sekolah sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang menyokong keterangannya.
Berhubung pembebasan tertuduh daripada pertuduhan amang seksual fizikal, Ahmad Faizadh berkata, tertuduh menafikan mempunyai akses ke pusat sumber pada Februari 2022. Penafian itu disokong keterangan saksi bahawa tertuduh hanya memegang kunci pusat sumber pada April tahun sama.
Keadaan itu menimbulkan keraguan munasabah sama ada tertuduh boleh memasuki pusat sumber yang berkunci pada waktu kejadian.-DRP
