Kuching: Taktik licik ‘runner’ sindiket pengedaran dadah di Miri yang menggunakan kaedah penghantaran tanpa bersemuka akhirnya tumpas selepas dia ditahan polis bersama rampasan 55 kilogram (kg) dadah disyaki syabu bernilai RM2.75 juta.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, dalam operasi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada 8 Julai lalu, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Cahaya Miri Bypass sebelum polis menemui 30kg dadah.
Katanya, soal siasat ke atasnya membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Jalan Acacia, Miri yang menemukan 25kg lagi dadah, menjadikan keseluruhan rampasan sebanyak 55kg.
Polis turut menyita sebuah Proton Iswara yang digunakan suspek bagi menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar Miri.
“Keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.75 juta dan boleh digunakan oleh kira-kira 275,000 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang aktif sejak Jun lalu hanya bertindak sebagai ‘runner’ dan menerima arahan daripada individu atasan sindiket melalui aplikasi Telegram.
Mohamad Zainal berkata, suspek menggunakan modus operandi dengan meletakkan kenderaan di lokasi tertentu sebelum mengambil semula kenderaan berkenaan selepas bekalan dadah dimasukkan oleh ahli sindiket.
“Suspek kemudian menghantar dan meninggalkan dadah di lokasi yang diarahkan tanpa bertemu pelanggan. Dia menerima bayaran RM7,000 selain dijanjikan upah RM15,000 bagi setiap penghantaran,” katanya.
Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan satu rekod kesalahan dadah, manakala ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan.
Mengulas prestasi JSJN Sarawak, Mohamad Zainal berkata, sebanyak 8,460 tangkapan direkodkan bagi tempoh 1 Januari hingga 12 Julai tahun ini, meningkat 32.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dalam tempoh itu, nilai rampasan pelbagai jenis dadah dan racun turut melonjak kepada RM64 juta berbanding RM11 juta tahun lalu, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi “Tiada Hari Tanpa Tangkapan” dalam memerangi jenayah dadah di Sarawak.
Kredit sumber: Harian Metro
