SIBU, 17 Julai: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Lima Sarawak berjaya membongkar kegiatan disyaki melibatkan penyelewengan minyak diesel dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM11.75 juta dalam satu serbuan di sebuah jeti di Batang Rajang di sini pada Rabu.
Komander PPM Wilayah Lima Sarawak, ACP Ab Rahman Mat Hasan berkata, operasi hasil maklumat awam itu dijalankan kira-kira jam 12.20 tengah malam oleh Bot Ronda PSC 12.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua kapal sedang melakukan pemindahan kira-kira 9,662 liter minyak diesel tanpa dokumen atau permit yang sah.
“Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala dua lelaki warga asing ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, turut dirampas wang tunai berjumlah RM15,457 yang dipercayai digunakan untuk urusan pembelian minyak diesel secara haram.
“Dalam operasi sama, seramai 13 kru kapal warga Myanmar dan Indonesia turut ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kesemua suspek bersama barang kes telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bahagian Kuching serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut,” ujarnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) kerana memiliki, menyimpan atau membawa barang kawalan tanpa permit, lesen atau kebenaran khas daripada KPDN.
Kredit sumber: TV Sarawak
