PAPAR, 18 Julai 2026 – Kawang Adventure Tropical Race (KTAR) 2026 terus mencipta nama sebagai antara acara sukan pengembaraan utama di Sabah apabila berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai negeri di seluruh negara, sekali gus memperkukuh usaha mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti (Community-Based Tourism, CBT).
Memasuki penganjuran edisi kedua, KTAR kekal sebagai satu-satunya perlumbaan pengembaraan di Sabah yang dianjurkan oleh syarikat tempatan, Event Finder, sekali gus membuktikan kemampuan penganjur tempatan mengendalikan acara bertaraf nasional.
Perlumbaan itu menggabungkan empat cabaran utama iaitu larian denai (Trail Run), stand up paddle (SUP), basikal gunung (Mountain Bike) dan orienteering, dengan setiap pasukan terdiri daripada dua peserta yang perlu melengkapkan semua disiplin yang dipertandingkan.
Selain kategori berpasukan, KTAR 2026 turut menawarkan kategori individu 21 kilometer (21KM) Trail Run serta 5KM Fun Trail Run bagi memberi peluang kepada lebih ramai penggemar aktiviti lasak dan rekreasi menikmati pengalaman menyertai acara berkenaan.
Penganjuran KTAR 2026 turut memainkan peranan penting dalam memperkenalkan potensi kawasan Kaiduan dan Bolitikon sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti menerusi promosi keindahan alam semula jadi, warisan budaya tempatan dan penglibatan penduduk dalam pembangunan pelancongan mampan.
Sambutan terhadap acara itu juga terus meningkat apabila jumlah penyertaan tahun ini bertambah sebanyak 20 peratus berbanding edisi sulung, membabitkan 21 pasukan Adventure Race, 102 peserta kategori 21KM Trail Run dan 66 peserta bagi kategori 5KM Fun Trail Run.
Penyertaan bukan sahaja melibatkan peserta dari seluruh Sabah, malah turut disertai wakil dari Labuan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan KTAR sebagai antara acara sukan pengembaraan yang semakin mendapat perhatian di peringkat kebangsaan.
Pengarah Perlumbaan, Auther J. Kimon berkata, KTAR bukan sekadar platform pertandingan sukan lasak, sebaliknya menjadi medium mempromosikan pelancongan komuniti di samping mengeratkan kerjasama antara pelbagai pihak dalam membangunkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
“KTAR 2026 bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan mental peserta, malah menjadi platform memperkenalkan keunikan Kaiduan dan Bolitikon sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti. Kami berharap acara ini akan terus berkembang serta memberi impak positif kepada ekonomi masyarakat dan industri pelancongan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan penganjuran KTAR 2026 adalah hasil kerjasama pelbagai pihak yang berkongsi komitmen dalam memperkasakan sukan pengembaraan, pelancongan lestari dan pembangunan ekonomi komuniti di negeri ini.
Antara rakan strategik yang menjayakan acara itu ialah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KEPKAS), Tourism Malaysia serta Pejabat Ahli Parlimen Papar yang diterajui Datuk Armizan Mohd Ali.
Selain itu, KTAR 2026 turut mendapat sokongan daripada Sabah Mineral, Sabah Energy, JETAMA dan Borneo Rainforest Lodge sebagai penaja utama, sekali gus memperkukuhkan lagi penganjuran acara berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
