TAWAU, 18 Julai 2026 – Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) di sebuah rumah di Kampung Ranggu Batu 10, Jalan Apas, Tawau pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, laporan polis dibuat oleh ibu angkat mangsa selepas remaja berkenaan mengadu mengalami kesakitan pada tubuh badan.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor mendapati remaja terbabit dipercayai menjadi mangsa rogol.
Difahamkan, mangsa merupakan individu OKU yang menghidap Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Dalam siasatan awal, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian, termasuk sehelai kemeja-T berkolar, seluar dan topi.
Sementara itu, suspek berusia 66 tahun tiba di Mahkamah Tawau pada jam 8.48 pagi tadi dengan menaiki trak polis sebelum dibawa masuk ke dalam mahkamah oleh anggota bertugas.
Pegawai Penyiasat, Inspektor Voon Yu Wie kemudiannya memohon perintah reman terhadap suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Safiyatun Ahmadun membenarkan suspek direman selama tujuh hari.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol. – DAKWAT RAKYAT POST
