PUTATAN, 19 Julai 2026 – Krisis bekalan air yang berlarutan sejak 2023 di Kingfisher Putatan Condominium terus memberi tekanan kepada lebih 500 keluarga apabila pihak pengurusan terpaksa menanggung kos melebihi RM120,000 bagi mendapatkan bekalan air daripada pembekal luar demi memastikan keperluan harian penduduk dapat dipenuhi.
Menurut aduan yang dikemukakan oleh seorang penduduk, gangguan bekalan air mula menjadi semakin ketara sejak 2023 dan keadaan berlanjutan sehingga menjejaskan kehidupan seharian penghuni di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, pada 2024 satu sesi dialog bersama Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya telah diadakan bagi membincangkan isu berkenaan, manakala Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) turut menggerakkan lori tangki untuk membantu menyalurkan bekalan air kepada penduduk.
Namun, bantuan tersebut dikatakan hanya mampu menampung keperluan sehingga awal tahun 2025 sebelum masalah bekalan kembali meruncing.
Menurut penduduk, keadaan menjadi lebih kritikal bermula 31 Mac 2026 apabila bekalan air yang diterima semakin tidak menentu sehingga memaksa pihak pengurusan membeli bekalan daripada pihak ketiga. Setakat ini, kos yang ditanggung bagi tujuan itu dilaporkan telah melebihi RM120,000.
Penduduk memaklumkan bekalan air lazimnya hanya mengalir pada waktu malam dalam kuantiti yang sangat terhad.
Katanya, keperluan minimum harian di kondominium berkenaan dianggarkan antara 250 hingga 300 meter padu, namun jumlah bekalan yang diterima kebiasaannya tidak sampai 100 meter padu.
Situasi itu menyebabkan pihak pengurusan melaksanakan catuan air secara berjadual melibatkan semua blok kediaman.
Sekiranya terdapat aliran air daripada paip utama pada waktu malam, bekalan akan dipam ke setiap blok. Namun dalam kebanyakan keadaan, tiada bekalan diterima dan penduduk hanya bergantung kepada jadual catuan sekitar jam 4 petang serta bantuan lori tangki JANS dan air yang dibeli oleh pihak pengurusan.
Krisis yang berpanjangan itu turut memaksa ramai penghuni menyediakan tangki simpanan tambahan, membeli tong air serta mendapatkan bekalan air mineral bagi kegunaan harian.
Malah, terdapat individu yang tampil menghulurkan sumbangan air mineral kepada jiran-jiran yang terkesan sebagai usaha membantu meringankan beban mereka.
Lebih membimbangkan, ada penduduk terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli makanan di luar kerana tidak mempunyai bekalan air mencukupi bagi memasak, manakala sebahagian lagi memilih menginap di hotel semata-mata untuk mandi selepas gagal menyimpan air.
Difahamkan, terdapat juga penghuni yang mengambil keputusan menjual kediaman atau berpindah ke lokasi lain kerana tidak lagi mampu menanggung tekanan serta kos yang berpunca daripada masalah bekalan air berkenaan.
Kingfisher Putatan Condominium mempunyai sebanyak 528 unit kediaman dengan anggaran lebih 1,500 penduduk menetap di kawasan itu, termasuk warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga yang mempunyai bayi.
Penduduk berharap pihak berkuasa berkaitan dapat mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang berlarutan lebih dua tahun supaya mereka tidak lagi bergantung kepada lori tangki atau pembelian air daripada pembekal luar untuk meneruskan kehidupan seharian. – DAKWAT RAKYAT POST
