KOTA KINABALU, 19 Julai 2026 – Program Jesselton Berselawat 2026 anjuran Sekretariat Borneo Berselawat (SBB) berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan dalam usaha menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW serta memperkukuhkan nilai adab, keharmonian dan perpaduan.
Program yang berlangsung pada 18 Julai di Jeti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu membawa tema “Menjunjung Adab & Keharmonian” dengan slogan “Dari Borneo Untuk Rasulullah SAW”, sekali gus menjadi medan penyatuan masyarakat menerusi pendekatan dakwah yang bersifat inklusif.
Acara dimulakan dengan perarakan selawat dari Todak Waterfront menuju ke Jeti DBKK sebelum diteruskan dengan pelbagai pengisian berunsurkan kerohanian dan kebudayaan. Antaranya bacaan doa, persembahan qasidah, puisi etnik, demonstrasi silat, busking dakwah, tazkirah, diikuti alunan selawat serta doa penutup.
Setiap pengisian disusun bagi mendekatkan mesej dakwah kepada masyarakat dengan pendekatan yang sederhana dan sesuai untuk semua lapisan tanpa mengira latar belakang.
Pengerusi Sekretariat Borneo Berselawat, Kefayatullah Malik Aman, berkata Jesselton Berselawat bukan sekadar program keagamaan, sebaliknya menjadi platform dakwah yang mengangkat mesej “Muhammad For All”, iaitu Rasulullah SAW diutus sebagai rahmat kepada seluruh alam.
Menurut beliau, konsep itu diterjemahkan menerusi penglibatan pelbagai komuniti serta penerapan elemen seni dan budaya tempatan seperti puisi dalam bahasa etnik, qasidah dan pengagihan bunga ros sebagai lambang kasih sayang, sekali gus memperlihatkan keindahan Islam sebagai agama yang menitikberatkan keamanan, adab dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), rakan strategik, penaja, sukarelawan serta seluruh jawatankuasa pelaksana yang memainkan peranan penting dalam memastikan program berkenaan berjalan dengan lancar.
Katanya, sokongan padu daripada semua pihak membuktikan usaha memperkasa dakwah melalui pendekatan yang mesra masyarakat mampu menyatukan komuniti dalam suasana harmoni.
Sekretariat Borneo Berselawat berharap Jesselton Berselawat akan terus dijadikan acara tahunan yang mampu memperkukuhkan ukhuwah, menyebarkan mesej Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam serta mengangkat Sabah sebagai contoh penganjuran program dakwah yang meraikan kepelbagaian budaya berteraskan kecintaan kepada Rasulullah SAW. – DAKWAT RAKYAT POST
