LAHAD DATU, 19 Julai 2026 – Madrasah Darul U’lum di Taman Aman 3 menganjurkan Majlis Apresiasi dan Kesyukuran Tahun 2026/1448 Hijrah bagi meraikan kejayaan pelajar di samping menghargai jasa ibu bapa, tenaga pengajar serta para penyumbang yang sentiasa memberi sokongan kepada pembangunan institusi pendidikan Islam itu.
Majlis yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu dihadiri ibu bapa, penjaga, waris dan pelajar dalam suasana penuh kesyukuran. Program dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan serta taklimat mengenai perkembangan dan perancangan Madrasah Darul U’lum yang disampaikan oleh Pengerusi madrasah.
Kemuncak majlis menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran Iqra’, khatam al-Quran, menghafaz dua hingga tiga juzuk al-Quran serta menguasai tujuh surah amalan sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan kesungguhan mereka dalam menuntut ilmu.
Majlis turut diserikan dengan persembahan qasidah daripada para pelajar yang berjaya memukau para tetamu dan menambahkan lagi kemeriahan acara.
Dalam pada itu, beberapa individu dan organisasi turut menerima sijil penghargaan sebagai tanda terima kasih atas sumbangan serta komitmen mereka dalam membantu memperkukuhkan pembangunan Madrasah Darul U’lum, khususnya dalam usaha melahirkan generasi yang celik al-Quran dan berakhlak mulia.
Pengerusi Madrasah Darul U’lum, Haji Shamsuddin Bahar berkata, penganjuran majlis berkenaan bukan sekadar mengiktiraf pencapaian pelajar, malah menjadi medium mengeratkan hubungan antara pihak madrasah, ibu bapa dan masyarakat dalam memperkasakan pendidikan Islam.
Beliau berkata, penghargaan yang diberikan diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus menimba ilmu, menghayati ajaran Islam serta membentuk sahsiah yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
Menurutnya, sokongan berterusan daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan Madrasah Darul U’lum terus berkembang sebagai institusi pendidikan Islam yang mampu melahirkan lebih ramai generasi al-Quran yang cemerlang pada masa hadapan.
Majlis berkenaan mencerminkan komitmen Madrasah Darul U’lum dalam menghargai kecemerlangan pelajar serta memperkukuhkan kerjasama erat dengan ibu bapa, komuniti dan para penyumbang demi memastikan agenda pembangunan pendidikan Islam terus diperkasakan. – DAKWAT RAKYAT POST
