SANDAKAN, 20 Julai 2026 – Kira-kira 300 penduduk Kampung Gum-Gum, Batu 16, berhimpun di Dewan Sri Gum-Gum bagi menyatakan solidariti terhadap keluarga yang menerima notis pengosongan selama 30 hari susulan pelaksanaan projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Gum-Gum.
Notis berkenaan membabitkan sebanyak 93 rumah, dengan 75 daripadanya berada di tapak cadangan pembinaan balai bomba, manakala 18 lagi terletak di kawasan berasingan yang turut terjejas oleh projek tersebut.
Perhimpunan yang diadakan pada Ahad itu bertujuan menyuarakan kebimbangan penduduk terhadap tindakan perobohan rumah tanpa rundingan menyeluruh serta penyelesaian yang dipersetujui semua pihak.
Wakil NGO Komuniti Prihatin Gum-Gum, Muhammad Yusuf Yoda berkata, penduduk tidak menolak usaha pembangunan, namun berharap pelaksanaannya tidak menjejaskan hak dan kebajikan rakyat yang telah menetap di kawasan itu sejak puluhan tahun.
Menurutnya, penduduk hanya mahukan satu penyelesaian yang adil menerusi rundingan bersama, tanpa perlu mengorbankan kediaman mereka demi pembangunan.
Dalam masa sama, penduduk turut menyifatkan tempoh notis selama 30 hari sebagai terlalu singkat untuk mengosongkan rumah, lebih-lebih lagi bagi keluarga yang berpendapatan rendah dan memerlukan masa untuk mencari penempatan baharu.
Seorang penduduk, Zainab Mohd Zain berkata, kebanyakan penduduk yang terlibat bukan terdiri daripada golongan berada dan menghadapi kesukaran untuk memindahkan barangan serta mendapatkan rumah baharu dalam tempoh yang diberikan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, beliau akan mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah supaya tempoh notis pengosongan dipanjangkan daripada sebulan kepada enam bulan bagi memberi ruang kepada penduduk membuat persiapan.
Beliau turut mencadangkan penubuhan jawatankuasa bertindak yang akan menjadi wakil rasmi penduduk dalam mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa, selain membantu mengenal pasti penyelesaian terbaik termasuk penempatan semula.
Menurutnya, usaha juga akan dilakukan untuk mendapatkan bantuan perumahan daripada kerajaan negeri menerusi Rumah SMJ serta memohon sokongan Kerajaan Persekutuan melalui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagi mendapatkan peruntukan daripada FELCRA dan RISDA untuk membantu keluarga yang terkesan membina kediaman baharu.
Suhaimi berkata, sebuah tapak tanah milik kerajaan dalam kawasan DUN Gum-Gum telah dikenal pasti sebagai lokasi cadangan penempatan semula, namun perkara itu masih menunggu pertimbangan dan kelulusan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah.
Projek pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Gum-Gum yang dianggarkan bernilai RM17 juta dijadualkan dilaksanakan di bawah Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13). – DAKWAT RAKYAT POST
