TAWAU: Polis Daerah Tawau sedang giat mengesan individu yang bertanggungjawab selepas penemuan seorang bayi perempuan yang dipercayai ditinggalkan di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa, di sini, pada awal pagi kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian berkenaan dan siasatan kini sedang dijalankan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, bayi perempuan itu ditemui oleh seorang lelaki kira-kira jam 6 pagi sebelum lelaki terbabit segera menghubungi pihak ambulans bagi mendapatkan bantuan.
“Bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Tawau untuk menjalani pemeriksaan kesihatan serta menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana dipercayai melibatkan perbuatan meninggalkan bayi.
Katanya, polis kini sedang menjalankan pelbagai tindakan termasuk mengesan identiti ibu kandung bayi dan individu yang terlibat dalam kejadian itu.
Selain itu, siasatan turut melibatkan usaha mengesan saksi kejadian, mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar lokasi sekiranya ada, serta membuat semakan dengan pihak hospital dan klinik kesihatan bagi membantu melengkapkan siasatan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Dalam masa sama, Polis Daerah Tawau menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang bertindak pantas menyelamatkan bayi berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.
Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan kerana dikhuatiri boleh mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan. – DAKWAT RAKYAT POST
