Manila: Sebuah pusat latihan eksorsisme pertama di Asia yang terletak di Filipina kini menjadi tumpuan apabila bukan sahaja menjalankan ritual pengusiran syaitan, malah melatih paderi dari beberapa negara termasuk Malaysia bagi membezakan gangguan rohani dan masalah kesihatan mental.
Pusat dikenali sebagai Michael Center for Spiritual Liberation and Exorcism itu dibuka lima bulan lalu selepas peningkatan kes individu yang mendapatkan bantuan berkaitan gangguan rohani.
Pengasasnya, Jose Francisco Syquia berkata, pusat itu dibina bagi menyediakan lokasi yang lebih selamat dan sesuai untuk menjalankan ritual selain menjadi pusat latihan eksorsisme pertama seumpamanya.
Katanya, paderi dari Malaysia, Singapura, Kemboja dan India sudah menyatakan minat untuk mengikuti latihan di pusat berkenaan.
Menurut Syquia, antara punca yang didakwa menyumbang kepada gangguan rohani ialah trauma akibat buli, penderaan seksual dan perpisahan ahli keluarga yang bekerja di luar negara.
Beliau berkata, setiap kes akan dinilai terlebih dahulu oleh pakar psikologi klinikal, pakar psikiatri dan pakar neurologi bagi memastikan individu terbabit tidak mengalami gangguan kesihatan mental.
Bagaimanapun, beliau percaya terdapat keadaan tertentu yang tidak dapat dijelaskan oleh sains dan memerlukan pendekatan kerohanian.
Pada masa sama, pakar psikologi Universiti London, Christopher French, mengingatkan bahawa kepercayaan terhadap unsur ghaib boleh menyebabkan pesakit lewat mendapatkan rawatan perubatan yang sewajarnya.
Katanya, beberapa gangguan seperti skizofrenia dan sindrom Tourette pernah disalah tafsir sebagai kerasukan pada masa lalu.
Sementara itu, pakar psikiatri di Manila, Dr Kathryn Tan berkata, stigma terhadap rawatan psikiatri menyebabkan ramai rakyat Filipina lebih selesa mendapatkan bantuan ‘pengusir syaitan’ atau pengamal perubatan tradisional sebelum berjumpa doktor.
Beliau berkata, rawatan kesihatan mental tidak bertujuan menolak kepercayaan agama, sebaliknya melengkapkan usaha membantu pesakit dengan pendekatan yang berlandaskan sains dan empati.
Syquia turut mengakui peningkatan pelaburan dalam perkhidmatan kesihatan mental mampu mengurangkan jumlah kes yang dirujuk untuk menjalani ritual eksorsisme pada masa depan.
Kredit sumber: AFP/Harian Metro
