Madrid: Kira-kira dua juta penyokong membanjiri jalan utama di ibu negara Sepanyol bagi meraikan kejayaan skuad kebangsaan muncul juara Piala Dunia 2026 menerusi perarakan bas terbuka yang berlangsung dalam suasana penuh gilang-gemilang, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Luis de la Fuente menerima sambutan wira sebaik tiba di Madrid dari Amerika Syarikat, sehari selepas menewaskan Argentina 1-0 menerusi masa tambahan pada aksi final di Stadium New York New Jersey.
Pemain menikmati sambutan meriah sepanjang perarakan menuju ke Dataran Cibeles, lokasi tradisi meraikan kejayaan pasukan kebangsaan, sebelum diraikan di pentas khas bersama puluhan ribu penyokong yang membanjiri kawasan berkenaan.
Penyanyi terkenal, Shakira turut mengirimkan ucapan tahniah menerusi rakaman video yang dipaparkan kepada pasukan dan penyokong.
“Sepanyol menunjukkan kepada dunia erti kerjasama dengan satu matlamat dan satu hati,” katanya.
De la Fuente pula menyifatkan anak buahnya sebagai pasukan terbaik dunia sambil mengingatkan penyokong bahawa kekuatan sebenar hadir melalui perpaduan.
“Kita lebih kuat apabila bersatu,” katanya.
Kemuncak sambutan menyaksikan pemain tengah Manchester City, Rodri, sekali lagi menjulang trofi Piala Dunia selepas bergambar bersama seluruh pemain dan pegawai pasukan.
Sebelum memulakan perarakan, skuad La Roja terlebih dahulu menghadap Raja Felipe VI serta keluarga diraja sebelum diraikan Perdana Menteri, Pedro Sanchez.
Dalam ucapannya, Raja Felipe memuji semangat juang skuad Sepanyol yang berjaya menggabungkan kebijaksanaan, keberanian dan ketabahan untuk menawan dunia.
Kredit sumber: AFP/Kosmo! Online
