SIBU, 22 Julai: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi bayangan berhubung berita baik yang disifatkan sebagai ‘hadiah’ kepada rakyat akan diumumkan sempena sambutan Hari Sarawak malam ini.
Beliau berkata kerajaan Sarawak kekal komited memperkukuh kedudukan kewangan negeri dengan meneroka serta meningkatkan sumber pendapatan baharu, termasuk selepas pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) pada 2019.
Menurutnya, pertambahan hasil negeri bukan titik pengakhiran, sebaliknya akan terus diperkukuhkan menerusi pelbagai sumber pendapatan baharu yang sedang dibangunkan.
“Selepas pelaksanaan SST, pertambahan pendapatan ini bukan titik pengakhiran, malah akan terus bertambah melalui sumber-sumber baharu.
“Sempena Hari Sarawak, ada hadiah untuk rakyat Sarawak, saya akan umumkan malam ini jadi dengarlah ucapan saya malam ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi Townhall Bersama Premier Sarawak di Dewan Tun Abdul Taib Mahmud Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini pada Rabu.
Menurutnya pelaksanaan SST berkuat kuasa 1 Januari 2019 menjadi salah satu sumbangan utama kepada pertambahan pendapatan negeri menerusi cukai lima peratus ke atas produk petroleum, termasuk minyak mentah dan gas asli cecair.
Malah jumlah pendapatan RM7.6 bilion pada 2021 berjaya ditingkatkan dalam masa lima tahun sehingga RM14.1 bilion pada 2025.
Ucapan khas Premier Sarawak dijadual berlangsung pada sambutan rasmi Perhimpunan Hari Sarawak malam ini di Dataran Tun Tuanku Bujang yang dijangka menjadi tumpuan rakyat di seluruh negeri.
Kredit sumber: TV Sarawak
