KOTA KINABALU, 21 Julai 2026 – Kumpulan Sawit Kinabalu (SKG) terus memperkukuh komitmennya terhadap amalan integriti apabila melancarkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 sebagai medium memperkasa budaya tadbir urus yang baik, ketelusan, akauntabiliti serta usaha pencegahan rasuah dalam organisasi.
Penerbitan buletin itu diwujudkan sebagai platform rasmi untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga kerja mengenai kepentingan integriti, pematuhan serta governans korporat. Selain itu, ia turut memaparkan pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh Divisyen Integriti dan Governans Kumpulan Sawit Kinabalu dalam memperkukuh sistem penyampaian serta pengurusan organisasi.
Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Haji Hazem Mubarak Tun Dr. Musa berkata, budaya integriti perlu diterapkan dalam setiap aspek pengurusan dan menjadi panduan utama dalam membuat keputusan supaya syarikat dapat terus berkembang secara mampan serta mengekalkan keyakinan rakyat dan pihak berkepentingan.
Sebagai tanda komitmen terhadap agenda berkenaan, beliau menyerahkan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebagai simbol usaha berterusan syarikat dalam memperkukuh nilai integriti, tadbir urus dan ketelusan sebagai asas pengurusan korporat.
Majlis penyerahan itu turut disertai Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg bersama wakil Divisyen Integriti dan Governans syarikat.
Dalam pertemuan tersebut, Hajiji menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh Kumpulan Sawit Kinabalu dan berharap inisiatif seumpama itu terus diperkasakan bagi membudayakan amalan integriti serta memperkukuh pencegahan rasuah dalam organisasi.
Beliau turut menyifatkan langkah yang diambil SKG sebagai contoh terbaik kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain di Sabah untuk terus mengamalkan budaya kerja yang beretika, telus dan berakauntabiliti.
Penerbitan Buletin Integriti Edisi Pertama 2026 mencerminkan kesungguhan Kumpulan Sawit Kinabalu dalam menjadikan integriti sebagai budaya kerja yang diterapkan di setiap peringkat organisasi, sekali gus menyokong usaha meningkatkan kecemerlangan, daya saing dan kelestarian syarikat pada masa hadapan. – DAKWAT RAKYAT POST
