NABAWAN: Seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan tiang lampu di Kampung Malinja, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.49 pagi itu, mangsa dilaporkan terkena renjatan elektrik ketika berada di lokasi kerja sebelum orang awam menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan untuk mendapatkan bantuan.
Seramai enam anggota BBP Nabawan bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 11.56 pagi, iaitu kira-kira tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan.
Komander Operasi, PBK I Gustin Asin berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik ketika melakukan kerja pemasangan tiang lampu di tepi jalan.
Menurutnya, anggota bomba segera menjalankan operasi menyelamat dengan mengeluarkan mangsa dari kawasan yang masih berisiko sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan.
“Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 12.12 tengah hari sebelum ditamatkan tiga minit kemudian selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi sebarang bahaya di kawasan kejadian.
Turut berada di lokasi ialah tiga anggota KKM dan tiga anggota PDRM bagi membantu pengurusan insiden serta siasatan lanjut. – DAKWAT RAKYAT POST
