KOTA KINABALU: Sabah perlu beralih daripada sekadar menjadi pengguna kandungan kreatif kepada sebuah negeri yang mampu menghasilkan produk kreatif berkualiti tinggi untuk menembusi pasaran nasional dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, industri kreatif mempunyai potensi besar sebagai pemacu baharu ekonomi negeri selain mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan belia.
Menurut beliau, Sabah mempunyai keunikan tersendiri menerusi kepelbagaian budaya, seni, muzik, warisan dan keindahan alam semula jadi yang boleh diketengahkan sebagai produk kreatif bernilai tinggi.
Katanya, semakin ramai anak muda Sabah berjaya menghasilkan kandungan digital, filem pendek, muzik, animasi, fotografi serta reka bentuk grafik yang mendapat pengiktirafan di dalam dan luar negara.
“Bagaimanapun, potensi itu masih belum berkembang menjadi industri yang benar-benar kukuh kerana ramai penggiat kreatif berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan pembiayaan, kemudahan produksi, latihan profesional, pemasaran digital serta perlindungan harta intelek,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Abdul Kassim berkata data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan industri budaya dan ekonomi kreatif menyumbang sebanyak 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2024 dengan nilai RM130.7 bilion serta menyediakan lebih 763,000 peluang pekerjaan.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan ekonomi kreatif kini menjadi antara sektor strategik yang semakin penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, dan bukan lagi sekadar aktiviti sampingan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan negeri menubuhkan Unit Ekonomi Kreatif Sabah bagi menyelaras pembangunan industri secara lebih sistematik, termasuk mengenal pasti bakat tempatan, membangunkan pangkalan data industri, menyelaras latihan, memudah cara akses kepada geran serta menghubungkan pemain industri dengan pelabur.
Selain itu, beliau turut mencadangkan penubuhan Sabah Creative Hub sebagai pusat sehenti yang menyediakan studio, ruang kolaborasi, kemudahan produksi, inkubator perniagaan dan latihan profesional kepada penggiat industri kreatif.
Katanya, inisiatif berkenaan diyakini mampu melahirkan lebih ramai usahawan kreatif di samping membuka ribuan peluang pekerjaan baharu kepada belia Sabah.
Dalam perkembangan sama, Abdul Kassim berkata peruntukan tambahan menerusi RUU Perbekalan Tambahan 2026 juga wajar dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor pendidikan melalui bantuan pendidikan, peluasan akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan kemahiran serta penyediaan kemudahan digital kepada pelajar.
Beliau berkata, perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) menuntut generasi muda menguasai kemahiran digital, analitik data, pengaturcaraan, kreativiti dan pemikiran kritis agar mampu bersaing dalam ekonomi masa depan.
Pada masa sama, beliau mengingatkan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi global, termasuk konflik di Timur Tengah, berpotensi memberi kesan kepada perdagangan minyak dunia sekali gus meningkatkan kos logistik, pengangkutan dan makanan yang turut menjejaskan Sabah.
Justeru, beliau menegaskan RUU Perbekalan Tambahan 2026 penting bagi memastikan kerajaan mempunyai ruang fiskal yang mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan, mengekalkan penyampaian perkhidmatan awam serta menjaga kebajikan rakyat.
Beliau turut mengingatkan setiap peruntukan tambahan yang diluluskan perlu diurus secara berhemah, telus dan berimpak tinggi supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Sabah. – DAKWAT RAKYAT POST
