TAWAU, 25 Julai 2026 – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengesyorkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemantau dan Pengurusan Banjir Tawau bagi memperkemaskan penyelarasan antara pelbagai agensi dalam usaha menangani isu banjir yang semakin kerap berlaku di daerah itu.
Pengerusi Zon Enam GRS, Tan Sri Liew Yun Fah berkata, jawatankuasa berkenaan dicadangkan melibatkan Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta agensi berkaitan supaya setiap tindakan mitigasi dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan semua pihak berkaitan dapat bergerak secara bersepadu dalam merancang, memantau serta melaksanakan langkah-langkah mengurangkan risiko banjir.
Menurutnya, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengingatkan semua pemimpin supaya sentiasa turun padang bagi melihat sendiri keadaan di kawasan terjejas selain memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mangsa dengan segera.
“Lanjutan itu, saya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri serta Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dalam masa terdekat bagi membincangkan pendekatan terbaik termasuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di Tawau,” katanya.
Liew yang juga Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) berkata, kejadian banjir kini memberi kesan kepada pelbagai kawasan termasuk pusat bandar Tawau, terutama ketika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang.
Katanya, penubuhan jawatankuasa khas itu diharap mampu mempercepat proses penyelarasan, pemantauan dan pelaksanaan projek-projek mitigasi banjir sekali gus mengurangkan kesan bencana terhadap penduduk.
Dalam masa sama, beliau berkata, GRS turut akan menggerakkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) yang diketuai Samsiah Usman bagi membantu menyelaras penyaluran bantuan kepada mangsa banjir yang memerlukan di daerah berkenaan.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal dan pemimpin masyarakat dapat memperkukuh kesiapsiagaan dalam menghadapi risiko banjir, sekali gus meningkatkan keberkesanan usaha melindungi kebajikan penduduk Tawau. – DAKWAT RAKYAT POST
