INKUES koroner di United Kingdom mengesahkan kematian anggota keluarga diraja Arab Saudi yang ditemukan meninggal dunia di dalam bilik hotel mewah di Kensington, London, berpunca daripada serangan jantung yang dikaitkan dengan pengambilan pelbagai jenis dadah dan alkohol.
Abdullah bin Fahad bin Abdullah bin Abdulaziz bin Jalawi Al Saud, 29, ditemukan tidak sedarkan diri di bilik air sebuah hotel Marriott di barat London pada 25 November tahun lalu.
Menurut prosiding inkues di Mahkamah Koroner Inner West London, Abdullah mendaftar masuk ke hotel itu pada 19 November untuk penginapan selama seminggu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beliau kali terakhir dilihat pada malam sebelum kematiannya ketika keluar untuk merokok.
Bagaimanapun, keesokan harinya seorang petugas pembersihan yang memasuki bilik di tingkat lima menemui beliau dalam keadaan berpakaian lengkap dan terbaring di lantai bilik air.
Pihak keselamatan hotel dan ambulans dipanggil ke lokasi, namun usaha menyelamatkan beliau gagal sebelum beliau disahkan meninggal dunia.
Kredit sumber: Astro AWANI
