TAWAU, 25 Julai 2026 – Seramai 12 penduduk yang terperangkap akibat banjir di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Apas, Batu 15, berjaya diselamatkan dalam operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.
Pusat Gerakan Operasi JBPM Negeri Sabah menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 32 kilometer dari balai.
Pasukan penyelamat tiba di lokasi pada jam 1.20 petang dan mendapati kawasan berkenaan benar-benar dilanda banjir sehingga menyebabkan beberapa mangsa terkandas.
Komander Operasi, PBK I Al Mujid Ali Baba mengetuai operasi membabitkan 10 anggota bomba dengan bantuan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Vigo serta sebuah bot YAPIEM.
Menurut JBPM, semua mangsa berjaya dipindahkan ke rumah saudara-mara masing-masing dalam keadaan selamat.
Mangsa yang dipindahkan terdiri daripada empat lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki.
Selepas selesai kerja-kerja menyelamat, pasukan bomba meneruskan pemantauan di kawasan yang terjejas bagi memastikan keadaan kekal selamat serta bersedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya paras air meningkat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3 petang selepas pihak bomba mengesahkan situasi berada dalam keadaan terkawal.
Ketua Balai BBP Tawau, TPgB II Jemishin Ujin, menjadi pegawai yang boleh dihubungi berhubung operasi berkenaan. – DAKWAT RAKYAT POST
