TAWAU, 25 Julai 2026 – Banjir yang melanda beberapa kawasan di daerah ini menyebabkan seramai 81 ketua isi rumah (KIR) membabitkan kira-kira 400 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau.
Mangsa terdiri daripada penduduk di beberapa lokasi yang terjejas, antaranya Tanjung Batu Keramat Asli Bukit Segenggam, Tanjung Batu Keramat Asli Otentik dan Tanjung Batu Darat Ozzy selepas hujan lebat berterusan sejak sehari lalu mengakibatkan paras air meningkat dengan cepat.
Jumlah mangsa dijangka terus bertambah berikutan proses pemindahan serta pendaftaran masih dijalankan oleh pihak berkuasa.
Tinjauan di PPS Kompleks Sukan Tawau mendapati anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) giat memasang khemah dan menyusun ruang penempatan bagi memastikan semua mangsa mendapat tempat perlindungan yang selesa.
Pada masa sama, petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menguruskan pendaftaran mangsa selain menyelaras bantuan serta keperluan asas setiap keluarga yang dipindahkan.
Seorang penduduk Tanjung Batu Keramat, Usman Abdullah, berkata banjir kali ini jauh lebih buruk berbanding kejadian sehari sebelumnya apabila air mula memasuki rumah pada awal pagi.
Menurutnya, keluarganya sempat membuat persediaan lebih awal selepas melihat hujan lebat berterusan sejak tengah malam, sekali gus membolehkan mereka menyelamatkan sebahagian barangan penting sebelum berpindah.
“Paras air naik dengan sangat cepat sehingga mencecah paras dada ketika saya keluar memeriksa keadaan di luar rumah pada waktu subuh,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd Fazli Rahman, berkata walaupun bantuan kecemasan diterima dengan segera, jumlah aduan yang terlalu banyak menyebabkan pasukan penyelamat mengambil sedikit masa untuk tiba di lokasi.
Beliau yang juga anggota bomba berkata penduduk di kampung berkenaan sudah biasa berdepan banjir dan sentiasa membuat persiapan awal, termasuk memaklumkan perkembangan semasa melalui kumpulan WhatsApp penduduk supaya semua dapat bersedia sekiranya paras air meningkat.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Tanjung Batu Keramat Asli, Mos Syawal Mostyn, berkata kejadian kali ini merupakan banjir besar ketiga melanda kampung berkenaan sepanjang tahun ini.
Beliau berharap agensi berkaitan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat melaksanakan penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir yang kerap berulang.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar sebuah lagi PPS diwujudkan berhampiran kawasan kampung bagi memudahkan proses pemindahan dan meningkatkan keselamatan penduduk ketika bencana berlaku.
Dalam pada itu, Pegawai JKM Bahagian Tawau, Sarina Musa, berkata pihaknya telah membuat persiapan sebaik menerima arahan daripada pihak berkuasa tempatan untuk membuka PPS.
Menurut beliau, Kompleks Sukan Tawau dipilih sebagai lokasi penempatan kerana mampu menampung jumlah mangsa yang semakin meningkat selepas beberapa kawasan seperti Tanjung Batu Darat, Logpon dan Keramat terjejas teruk akibat banjir.
Katanya, pada peringkat awal terdapat cadangan membuka PPS yang lebih hampir dengan kawasan terjejas, namun peningkatan jumlah mangsa menyebabkan Kompleks Sukan Tawau dipilih sebagai pusat pemindahan utama.
Sehingga jam 3 petang, operasi menyelamat, pemindahan dan pemantauan masih diteruskan oleh agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko.
Pihak berkuasa memaklumkan jumlah mangsa dijangka berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan proses pendaftaran, keadaan cuaca serta paras air di kawasan yang terjejas. – DAKWAT RAKYAT POST
