KOTA KINABALU, 25 Julai 2026 – Dakwaan kononnya kerajaan negeri melaksanakan “bailout” atau bantuan menyelamat terhadap Sabah Development Bank Berhad (SDBank), Sabah International Petroleum Sdn. Bhd. (SIP) dan SMJ Energy disifatkan sebagai tidak tepat serta boleh mengelirukan rakyat.
Aktivis politik, Aksyah Haji Nasrah berkata, kenyataan yang dibangkitkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal ketika perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah baru-baru ini tidak mencerminkan keadaan sebenar kedudukan kewangan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri terbabit.
Menurutnya, tindakan yang diambil kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor bukanlah satu bentuk bantuan menyelamat, sebaliknya langkah penstrukturan semula kewangan yang bertujuan mengukuhkan institusi strategik milik negeri.
Beliau menjelaskan, dana berjumlah RM200 juta yang menjadi perhatian sebelum ini bukanlah suntikan wang baharu daripada kerajaan, sebaliknya wang sedia ada yang ditukarkan statusnya kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (Redeemable Preference Shares – RPS) bagi memperkukuh modal SDBank serta memastikan kerajaan negeri terus menerima pulangan dividen setiap tahun.
Katanya, pendekatan itu selaras dengan agenda Reformasi Institusi di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang memberi fokus kepada pengukuhan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menjadi pemacu ekonomi negeri dan bukannya membebankan kewangan kerajaan.
Aksyah berkata, pelaksanaan reformasi sejak beberapa tahun lalu turut membolehkan beberapa GLC utama menunjukkan prestasi kewangan yang lebih kukuh sekali gus meningkatkan sumbangan dividen kepada kerajaan negeri.
Mengulas prestasi SDBank, beliau berkata, sepanjang tempoh pentadbiran Warisan selama dua tahun, kutipan tunai pinjaman tidak berbayar (Non-Performing Loan, NPL) hanya berjumlah RM260 juta.
Sebaliknya, katanya, sejak pengurusan baharu mengambil alih pada Julai 2023, SDBank berjaya mengutip semula RM3.3 bilion daripada pinjaman tidak berbayar, sekali gus mencerminkan keberkesanan pengurusan korporat yang lebih sistematik dan berdaya saing.
Menyentuh mengenai Sabah International Petroleum (SIP), beliau berkata dakwaan bahawa syarikat itu menerima bantuan menyelamat juga tidak berasas kerana proses penstrukturan semula yang dilaksanakan berjaya mengurangkan komitmen kewangan syarikat serta mengukuhkan prospek jangka panjangnya.
Menurutnya, melalui penerbitan Sukuk Wakalah bernilai RM900 juta serta pemindahan 10 peratus pegangan ekuiti LNG9 kepada SMJ Energy, SIP kini bebas daripada hutang selain berjaya menjamin aliran pendapatan bagi tempoh 10 tahun akan datang menerusi pelanjutan aset syarikat di Indonesia.
Beliau turut berkata kerajaan negeri memilih untuk menangani dan menyelesaikan pelbagai isu yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu, termasuk memperkukuh kedudukan kewangan GLC strategik demi memastikan ekonomi Sabah terus berkembang.
Katanya, rakyat Sabah kini semakin matang dalam menilai fakta serta prestasi sebenar kerajaan dan tidak mudah dipengaruhi naratif politik yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta masyarakat.
“Naratif boleh diputar, namun data serta pencapaian ekonomi di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor merupakan fakta yang boleh dinilai sendiri oleh rakyat,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
