PETALING JAYA: Cosmos International Consultancy Sdn Bhd terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara syarikat perundingan terkemuka negara apabila merangkul dua pengiktirafan berprestij pada Golden Bull Awards 2026 yang berlangsung di sini, malam Khamis.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Mossco Woo Chin Teck, dinobatkan sebagai penerima Super Golden Bull Award, iaitu pengiktirafan tertinggi dalam anugerah berkenaan, manakala Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Subha Sathiamoorthy Maraiah, menerima Inspirational Entrepreneur Award 2026 atas kepimpinan cemerlang beliau dalam memacu pertumbuhan syarikat.
Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.
Mossco berkata, kejayaan tersebut membuktikan pencapaian luar biasa Cosmos yang sejak penubuhannya pada 2019 berjaya merekodkan nilai projek mencecah ratusan juta ringgit menerusi pelaksanaan pelbagai projek berimpak tinggi di seluruh negara.
“Kami amat bersyukur dan berbangga kerana usaha serta pencapaian syarikat terus mendapat pengiktirafan di peringkat industri.
“Anugerah ini menjadi pembakar semangat untuk kami terus berkembang, khususnya dalam sektor infrastruktur, telekomunikasi dan perlombongan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan Cosmos bukan sahaja didorong oleh strategi perniagaan yang jelas, malah berpaksikan kepimpinan yang fokus, kepercayaan penuh terhadap rakan kongsi serta budaya kerja berpasukan yang kukuh.
“Prinsip saya mudah. Kita mesti sentiasa fokus terhadap matlamat yang ditetapkan dan kekal komited dalam bidang yang diceburi.
“Yang paling penting ialah kepercayaan 100 peratus kepada rakan kongsi kerana penyampaian kerja yang berkualiti merupakan kunci untuk membawa syarikat ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Menyentuh perancangan masa depan, Mossco berkata Cosmos akan terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor telekomunikasi dan infrastruktur di Sabah, selain memperluaskan penglibatan dalam projek tenaga hijau dan pembangunan rangkaian gentian optik.
Beliau turut memaklumkan syarikat kini bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan untuk membangunkan makmal ujian perlombongan khusus bagi unsur nadir bumi (REE) dan emas.
“Makmal ujian di Kelantan ini bakal menjadi yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) khusus bagi ujian REE. Ini merupakan satu pencapaian yang amat kami banggakan,” katanya.
Lebih membanggakan, beliau meletakkan sasaran besar untuk membawa Cosmos ke pentas global.
“Aspirasi kami adalah untuk menjadikan Cosmos International Consultancy sebagai sebuah lagi syarikat dari Malaysia yang tersenarai dalam Fortune Global 500,” tegasnya.
Sementara itu, Subha menyifatkan anugerah yang diterimanya sebagai kejayaan seluruh warga Cosmos dan bukannya pencapaian individu.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Mossco kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada saya untuk memimpin Cosmos.
“Anugerah ini bukan milik saya seorang, sebaliknya hasil dedikasi dan kerja keras seluruh pasukan Cosmos,” katanya.
Menurut beliau, budaya syarikat sentiasa menekankan kepentingan perancangan strategik, inovasi serta penerokaan teknologi baharu bagi memastikan Cosmos kekal relevan dalam industri yang berkembang pesat.
“Mantra kami mudah, plan your work and work your plan. Kami sentiasa dahagakan inovasi dan teknologi baharu.
“Perkembangan teknologi seperti 5G dan bakal disusuli 6G berlaku begitu pantas. Sebab itu kami sentiasa bersedia mencuba perkara baharu dan berada di hadapan,” katanya.
Beliau turut menitipkan pesanan kepada usahawan muda supaya sentiasa berpegang kepada integriti, berani mengejar impian dan tidak melupakan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Pegang teguh kepada apa yang anda percayai. Integriti adalah asas kejayaan. Apabila kita berjaya, kita belajar dan kita memberi kembali kepada masyarakat,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
