LABUAN, 25 Julai 2026 – Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) yang digerakkan oleh SAFMA terus menjadi antara inisiatif penting dalam memperkukuh keterjaminan makanan di Sabah menerusi penyediaan bekalan ikan segar dan berkualiti pada harga yang mampu dinikmati rakyat.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Haji Japar berkata, program berkenaan diwujudkan bagi memastikan masyarakat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, terus memperoleh sumber protein berkualiti tanpa terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
Menurut beliau, selain memberi manfaat kepada pengguna, IRS turut membantu meningkatkan pendapatan nelayan tempatan melalui pembelian terus hasil tangkapan mereka, sekali gus mewujudkan rantaian bekalan yang lebih cekap, stabil dan mampan.
Katanya, inisiatif itu memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi, segar serta selamat untuk dimakan, di samping menyokong pembangunan industri perikanan negeri dan memperkukuh ekonomi komuniti nelayan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program Road to MAHA 2026 Labuan yang berlangsung di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, hari ini.
Burhan berkata, penyertaan SAFMA dalam program berkenaan menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah kepada masyarakat, selain mempromosikan pelbagai produk berasaskan makanan laut, perkhidmatan yang ditawarkan serta peluang kerjasama menerusi pendaftaran Rakan Niaga SAFMA.
Katanya, pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai maklumat mengenai produk makanan laut, menikmati hidangan Menu Rakyat berasaskan hasil laut serta menyertai pelbagai aktiviti interaktif yang disediakan sepanjang pameran.
Beliau berkata, selaras dengan aspirasi Ekonomi Biru Sabah, SAFMA akan terus memperluaskan pelaksanaan Program Ikan Rakyat Sabah melalui pembangunan kemudahan penyimpanan sejuk beku, penyediaan bekalan ais blok, penghasilan produk nilai tambah, peluasan rangkaian pemasaran serta pelaksanaan inisiatif Zero Waste Fisheries.
Menurutnya, Program Ikan Rakyat Sabah bukan sekadar menawarkan bekalan ikan pada harga berpatutan, malah menjadi pelaburan jangka panjang dalam membangunkan ekosistem perikanan yang mampan, meningkatkan taraf ekonomi nelayan serta menjamin bekalan makanan kepada rakyat.
Dalam lawatan kerja ke Labuan itu, delegasi SAFMA turut mengadakan tinjauan ke Pasar Ikan Labuan dan Kompleks Perikanan LKIM Labuan bagi meneliti operasi pemasaran serta rantaian bekalan hasil perikanan di wilayah berkenaan.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Pengurus Besar SAFMA, Azis Ali Amat bersama barisan pengurusan SAFMA. – DAKWAT RAKYAT POST
