KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menzahirkan kebimbangan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak yang dilahirkan di luar perkahwinan hasil hubungan antara bapa warganegara Malaysia dan ibu bukan warganegara tidak berhak memperoleh kewarganegaraan Malaysia di bawah Perlembagaan Persekutuan.
SUHAKAM dalam kenyataan hari ini, berkata keputusan itu menyerlahkan jurang dalam kerangka kewarganegaraan negara yang berisiko menyebabkan sebahagian kanak-kanak menjadi tanpa kewarganegaraan serta berdepan ketidaktentuan undang-undang.
Menurut suruhanjaya itu, walaupun pihaknya menghormati kebebasan badan kehakiman dan peranan mahkamah mentafsir Perlembagaan Persekutuan, setiap kanak-kanak tetap mempunyai hak untuk memperoleh kewarganegaraan.
“Tiada kanak-kanak patut dinafikan hak kewarganegaraan hanya disebabkan status perkahwinan ibu bapanya atau keadaan kelahirannya.
“Kewarganegaraan bukan sekadar suatu status perundangan, malah merupakan akses kepada pelbagai hak asasi termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan sosial, peluang pekerjaan serta penyertaan penuh dalam masyarakat,” katanya.
SUHAKAM berkata, pendirian itu selaras Perkara 7 Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasi Malaysia sejak 1995.
Konvensyen itu memperuntukkan setiap kanak-kanak berhak didaftarkan sejurus selepas kelahiran dan memperoleh kewarganegaraan, terutama bagi mengelakkan mereka menjadi tanpa kewarganegaraan.
Suruhanjaya itu turut merujuk kepada Pemerhatian Penutup Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB pada Februari lalu yang menggesa Malaysia memperkukuh undang-undang bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada kewarganegaraan tanpa diskriminasi.
“Prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak dan layanan tanpa diskriminasi perlu menjadi pertimbangan utama dalam semua keputusan berkaitan kewarganegaraan,” katanya.
Sehubungan itu, SUHAKAM menggesa undang-undang serta dasar berkaitan kewarganegaraan terus diperkasa berasaskan prinsip kesaksamaan, tanpa diskriminasi dan kepentingan terbaik kanak-kanak.
Suruhanjaya itu mengakui pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan ibu warganegara Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara adalah satu pencapaian penting.
Bagaimanapun, katanya, pembaharuan lanjut masih diperlukan bagi memastikan tiada kanak-kanak dinafikan akses kepada kewarganegaraan akibat halangan perundangan atau pentadbiran.
“SUHAKAM menggesa kerajaan terus menggunakan mekanisme di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi mengelakkan kanak-kanak menjadi tanpa kewarganegaraan.
“SUHAKAM kekal komited bekerjasama dengan kerajaan, Parlimen dan semua pihak berkepentingan untuk memperkukuh kerangka kewarganegaraan yang melindungi hak kanak-kanak selaras dengan kewajipan Malaysia di bawah CRC,” katanya.
Kredit sumber: Berita Harian
