TAWAU, 27 Julai 2026 – Tiga buah sekolah di daerah ini diarahkan ditutup sementara susulan banjir yang melanda beberapa kawasan selepas hujan berterusan sejak Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin Tabar berkata, langkah itu membabitkan Sekolah Kebangsaan Kuala Apas, Sekolah Kebangsaan Batu 22 dan Sekolah Agama Negeri Jalan Apas Batu 4 bagi memastikan keselamatan murid, guru serta seluruh warga sekolah terus terpelihara.
Beliau berkata, JPNS sentiasa memantau perkembangan semasa dan bersedia mengaktifkan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya keadaan banjir berlanjutan sehingga menjejaskan sesi persekolahan.
Menurutnya, pengalaman mengendalikan PdPR ketika pandemik COVID-19 akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan tanpa menjejaskan perkembangan akademik murid.
“Keutamaan kita ketika ini ialah keselamatan murid dan guru. Sekiranya keadaan didapati tidak selamat untuk hadir ke sekolah, kita tidak akan membenarkan sesi persekolahan dijalankan.
“Pada masa sama, kita juga telah menyediakan pelan tindakan termasuk pelaksanaan PdPR dan kelas ganti supaya murid tidak tercicir dalam pembelajaran serta jumlah minimum 190 hari persekolahan dapat dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Dewan Terbuka SMK Balung serta Anugerah Kecemerlangan Pelajar STPM 2025 Parlimen Tawau, pada Ahad.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Lo Su Fui memaklumkan kerajaan Persekutuan akan meneruskan projek pembesaran sungai yang sebelum ini tertangguh sebagai langkah jangka panjang mengatasi masalah banjir di Tawau.
Beliau berkata, projek Fasa 1B yang dibatalkan pada 2018 kini memperoleh jaminan peruntukan khas daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sekali gus membuka laluan kepada pelaksanaannya.
Katanya, projek itu merangkumi kerja menaik taraf sistem pintu air atau tidal gate di empat sungai utama iaitu Sungai Tawau, Sungai Apas, Sungai Tanjung Batu dan Sungai Kinabutan.
“Selepas kerja pembesaran sungai siap dilaksanakan, sistem pintu air juga akan dinaik taraf supaya mampu beroperasi secara automatik ketika air pasang, sekali gus membantu mengurangkan risiko banjir kilat yang kerap melanda Tawau,” katanya.
Hujan lebat yang berterusan sejak Jumaat telah menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air, menjejaskan ratusan penduduk dan memaksa sebahagian mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Pelaksanaan projek tebatan banjir itu diharap dapat mengurangkan kejadian banjir berulang pada masa hadapan, khususnya ketika hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang. – DAKWAT RAKYAT POST
