KUNAK, 27 Julai 2026 – Kerajaan Negeri Sabah terus memperkukuh komitmennya dalam pembangunan sukan apabila menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM10,000 kepada Empire Taekwondo Club bagi menyokong persiapan atlet kelab itu menyertai program latihan serta kejohanan antarabangsa di Korea Selatan.
Sumbangan yang diperuntukkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor itu disampaikan Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Hajah Norazlinah Arif, pada Majlis Penyerahan Sumbangan dan Persiapan Program Latihan Pendedahan ke Korea yang berlangsung di Dewan Serbaguna SRJKC Pai Sheng di sini, hari ini.
Bantuan berkenaan bertujuan meringankan kos persediaan atlet Empire Taekwondo Club yang bakal menjalani latihan di Chungnam Physical High School, Korea Selatan, selain mengambil bahagian dalam The 11th MBC Cup International Open Taekwondo Championship 2026 yang akan berlangsung di Geumsan.
Program latihan dan penyertaan kejohanan antarabangsa itu dijadualkan berlangsung selama dua minggu bermula 30 Julai hingga 12 Ogos depan.
Pihak penganjur menzahirkan penghargaan kepada Norazlinah atas komitmen berterusan beliau dalam membantu masyarakat, khususnya melibatkan pembangunan belia dan atlet di peringkat akar umbi.
Menurut mereka, usaha beliau mendapatkan serta menyampaikan sumbangan kepada Empire Taekwondo Club mencerminkan kesungguhan dalam memastikan pembangunan bakat sukan terus diberi perhatian, sekali gus membuktikan khidmat kepada masyarakat tidak bergantung kepada sesuatu jawatan semata-mata.
Mereka turut berharap sokongan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah itu dapat menjadi suntikan semangat kepada para atlet untuk memanfaatkan peluang menimba ilmu, meningkatkan kemahiran serta menambah pengalaman bertanding di peringkat antarabangsa.
Pada masa sama, mereka optimis penyertaan tersebut mampu melahirkan atlet yang lebih berdaya saing dan berpotensi mengharumkan nama Sabah serta Malaysia di pentas dunia. – DAKWAT RAKYAT POST
