LAHAD DATU, 27 Julai 2026 – Kecekapan Jabatan Air Lahad Datu, khususnya jurutera serta pasukan teknikalnya, terus mendapat pujian daripada penduduk yang menyifatkan tindakan pantas mereka dalam menangani aduan berkaitan bekalan air wajar diberikan penghargaan.
Seorang penduduk Taman Sri Perdana, Haji Abdullah, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Jabatan Air Lahad Datu atas komitmen yang ditunjukkan setiap kali berlaku gangguan bekalan air atau kerja-kerja pembaikan paip di kawasan taman berkenaan dan sekitarnya.
Menurut beliau, setiap kali bekalan air dipulihkan selepas kerja pembaikan dijalankan, rumahnya sering mengalami masalah angin yang terperangkap di dalam paip sehingga menjejaskan aliran air. Namun, setiap aduan yang dikemukakan sentiasa menerima perhatian segera daripada pihak jabatan.
“Setiap kali saya membuat aduan, mereka tidak pernah mengambil mudah. Jurutera dan pasukan teknikal akan datang dengan segera untuk memeriksa serta menyelesaikan masalah sehingga bekalan air kembali normal. Ini menunjukkan mereka benar-benar komited terhadap tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Haji Abdullah berkata, sikap responsif, profesional serta kesediaan pasukan teknikal turun padang tanpa mengira masa membuktikan Jabatan Air Lahad Datu sentiasa mengutamakan kepentingan pengguna. Beliau berharap budaya kerja cemerlang tersebut dapat diteruskan demi memastikan penduduk menikmati perkhidmatan bekalan air yang lebih baik dan berkualiti pada masa akan datang. – DAKWAT RAKYAT POST
