LABUAN, 27 Julai 2026 – Hidangan tradisi Sabah seperti ambuyat bersama ikan ampap menjadi antara tarikan utama di gerai Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) sepanjang penganjuran Road to MAHA Labuan 2026, sekali gus menarik perhatian pengunjung untuk mengenali keunikan makanan warisan negeri itu.
Pada masa sama, penyertaan SAFMA dalam program berkenaan turut dimanfaatkan bagi memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah (IRS), iaitu inisiatif yang bertujuan memastikan masyarakat memperoleh bekalan ikan segar, berkualiti dan pada harga berpatutan.
Pengurus Besar SAFMA, Burhan Japar, berkata Program Ikan Rakyat Sabah bukan sahaja memberi manfaat kepada pengguna melalui bekalan ikan pada harga mampu milik, malah menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan negeri, meningkatkan pendapatan nelayan tempatan serta merancakkan pembangunan industri perikanan Sabah.
Menurut beliau, selain mempromosikan program tersebut, gerai SAFMA turut menampilkan pelbagai pilihan produk hasil laut termasuk ikan segar, makanan laut sejuk beku, produk hiliran serta hidangan tradisi Sabah seperti ambuyat bersama ikan ampap dan pais ikan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.
Katanya, penyertaan itu turut mendapat perhatian Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar yang mengadakan lawatan ke gerai SAFMA bagi meninjau pelaksanaan Program Ikan Rakyat Sabah serta melihat sendiri pelbagai produk yang dipamerkan.
Dalam lawatan berkenaan, Jamawi turut menikmati hidangan ambuyat bersama ikan ampap yang disediakan menggunakan Ikan Rakyat Sabah dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha SAFMA mempromosikan makanan tradisi Sabah seiring memperkenalkan hasil laut tempatan yang berkualiti, berkhasiat dan mampu dimiliki rakyat.
Burhan berkata, kehadiran Jamawi membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh sektor perikanan serta memperluaskan promosi hasil laut Sabah ke pasaran yang lebih meluas.
Beliau berkata, penganjuran platform seperti Road to MAHA bukan sahaja membantu memperkenalkan produk tempatan kepada pengguna, malah membuka ruang kerjasama strategik yang mampu memperkukuh ekosistem industri perikanan negara.
Sepanjang program yang berlangsung dari 23 hingga 26 Julai lalu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan demonstrasi masakan, menikmati pelbagai hidangan berasaskan makanan laut keluaran SAFMA serta mendapatkan maklumat berkaitan Program Ikan Rakyat Sabah dan pelbagai inisiatif syarikat.
Menurutnya, penyertaan dalam program itu mencerminkan komitmen SAFMA untuk terus menyokong agenda keterjaminan makanan, meningkatkan nilai tambah produk perikanan dan mempromosikan keistimewaan makanan tradisi Sabah kepada masyarakat serta pelancong. – DAKWAT RAKYAT POST
