TAWAU: Penantian lebih 40 tahun penduduk Kampung Kinabutan Bukit di sini untuk memiliki sebuah masjid sendiri akhirnya berakhir apabila Masjid Al-Ghafur berjaya disiapkan hasil usaha dan kerjasama masyarakat setempat.
Sebelum ini, penduduk kampung menggunakan kemudahan masjid yang beroperasi di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Kinabutan sejak era 1980-an berikutan ketiadaan tapak yang sesuai untuk membina rumah ibadat di kampung berkenaan.
Pengerusi Masjid Al-Ghafur, Ustaz Sukianto Launa berkata, impian itu akhirnya menjadi kenyataan selepas seorang penduduk mengizinkan tapak rumah miliknya yang tidak lagi didiami dijadikan lokasi pembinaan masjid.
Katanya, pembinaan masjid berkenaan dilaksanakan secara bergotong-royong menerusi sumbangan penduduk kampung, pemimpin setempat serta pelbagai pihak yang prihatin, dengan kos keseluruhan dianggarkan sekitar RM250,000.
“Sudah lebih 40 tahun penduduk kampung mengimpikan sebuah masjid sendiri, namun sebelum ini hasrat itu tidak dapat direalisasikan kerana masalah kepadatan penempatan dan ketiadaan tapak yang bersesuaian.
“Alhamdulillah, apabila ada penduduk yang sudi menyerahkan tapak rumahnya untuk tujuan pembinaan masjid, impian yang sekian lama dinantikan akhirnya dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Masjid Al-Ghafur Kampung Kinabutan Bukit yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, baru-baru ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas.
Sementara itu, Nizam berkata, kejayaan pembinaan Masjid Al-Ghafur membuktikan semangat muafakat dan pengorbanan penduduk kampung dalam merealisasikan hasrat untuk memiliki sebuah masjid yang lebih selesa dan sesuai digunakan oleh masyarakat.
Menurutnya, sebelum ini penggunaan masjid yang terletak di kawasan sekolah mempunyai beberapa kekangan, terutama dari segi pematuhan peraturan sekolah serta pelaksanaan aktiviti keagamaan.
“Dengan siapnya masjid baharu ini, penduduk kini mempunyai ruang yang lebih selesa untuk melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan seperti kelas al-Quran, program dakwah dan aktiviti kemasyarakatan.
“Saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa masjid, khususnya Ustaz Sukianto Launa bersama semua pihak yang telah bertungkus-lumus sehingga berjaya menyiapkan pembinaan masjid ini dalam tempoh kira-kira dua tahun,” katanya.
Beliau berkata, tapak Masjid Al-Ghafur merupakan sebahagian daripada tanah kerajaan yang telah mendapat kelulusan Jabatan Tanah untuk dijadikan tapak rumah ibadat.
Nizam berharap Masjid Al-Ghafur akan terus dimakmurkan dengan pelbagai program keagamaan dan kemasyarakatan, sekali gus menjadi pusat penyatuan penduduk Kampung Kinabutan Bukit.
“Masjid bukan sekadar tempat menunaikan solat, malah berfungsi sebagai pusat penyatuan masyarakat, mengeratkan silaturahim serta melahirkan komuniti yang sentiasa menghayati nilai-nilai Islam,” katanya- DAKWAT RAKYAT POST
