PERAK: Ahli Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Perak, Zilawati Aizura Usaili, turun padang meninjau isu yang telah lama dihadapi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Abdul Rahman Yaakob, Bota Kanan, sejurus selesai melaksanakan tugasan membantu kempen di Negeri Sembilan.
Zilawati yang juga Ahli Majlis Zon 10, Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) berkata, lawatan itu bertujuan memastikan masalah berkenaan mendapat perhatian sewajarnya serta penerangan yang jelas daripada pihak sekolah kepada pegawai MDPT bagi memudahkan penyelarasan tindakan penyelesaian.
Beliau turut diiringi Ketua Jabatan Kejuruteraan MDPT, Adli, Penolong Jurutera, Mizu, serta wakil pihak sekolah bagi meninjau sendiri keadaan di lokasi dan mengenal pasti langkah yang perlu diambil untuk menangani isu berkenaan.
Menurutnya, walaupun akan kembali bertugas membantu kempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada keesokan hari, beliau mahu memastikan isu di sekolah itu berada di landasan penyelesaian sebelum berlepas. Katanya, amanah kepada masyarakat tidak boleh ditangguhkan dan setiap aduan yang diterima perlu diberikan perhatian serta tindakan sebaik mungkin.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama erat antara Majlis Daerah Perak Tengah dan pihak sekolah mampu menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama demi menjamin keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah. Zilawati turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam usaha mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.
