Lumut: Kapal muzium pertama pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu Ex-Hang Tuah, disasarkan siap serta dibuka kepada orang ramai pada 2027 dengan kos pembinaan membabitkan kerja renovasi dan kurasi bernilai RM30 juta.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembangunan projek berkenaan akan dilaksanakan melalui pendekatan kerjasama awam-swasta membabitkan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak bersama Aero-Art Sdn Bhd bagi menyelaraskan dan menyelia pelaksanaannya.
Menurutnya, projek pembangunan muzium itu akan merangkumi taman awam terbuka secara percuma, zon komersial untuk usahawan tempatan, ruang aktiviti keluarga dan komuniti serta kemudahan bagi penganjuran program pameran dan juga persidangan.
Katanya, pembangunan itu juga dirancang untuk menghidupkan semula kawasan Marina Wing dan Esplanade, di sini, melalui pertambahan kehadiran pengunjung, kegiatan perniagaan serta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Kerajaan negeri yakin muzium memorial itu akan menjadi tarikan penting di daerah Manjung serta memperkukuhkan kedudukan Lumut sebagai bandar maritim utama negara yang menghubungkan warisan pertahanan laut dengan perkembangan sektor pelancongan.
“Konsep pelancongan ketenteraan yang diketengahkan melalui projek ini akan menambah kepelbagaian produk pelancongan maritim Perak serta menjadi tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap jasa dan pengorbanan warga TLDM dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan perairan negara,” katanya.
Saarani berkata demikian di majlis Penyerahan Kapal Ex-Hang Tuah daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Kerajaan Negeri Perak di Himpitan 1, Pengkalan TLDM, di sini hari ini.
Hadir sama Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee, Panglima Armada Barat Laksamana Madya Datuk Baharudin Wan Md Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) Datuk Anuar Zainal Abidin.
Terdahulu, Saarani dalam ucapannya berkata, penyerahan Ex-Hang Tuah yang sebelumnya dikenali sebagai Kapal Diraja (KD) Hang Tuah TLDM kepada Kerajaan Perak merupakan amanah dalam memastikan sebuah aset yang pernah berjasa mempertahankan kedaulatan negara dapat terus hidup, dikenali, dihargai dan diwariskan kepada generasi mendatang.
“Kapal Ex Hang Tuah mungkin sudah menamatkan perkhidmatannya namun jasa dan pengorbanan yang pernah dibawanya tidak akan kita biarkan tenggelam dalam arus peredaran waktu,” katanya.
Menurutnya, penyerahan Ex-Hang Tuah merupakan kemuncak kepada proses yang bermula pada awal 2025 apabila Kementerian Kewangan bersama TLDM menawarkan kapal itu yang ketika ini dikenali sebagai Ex-Hang Tuah kepada kerajaan negeri.
Dibina di Scotland dan pada asalnya dikenali sebagai HMS Mermaid, ia diberi nama KD Hang Tuah apabila ditauliahkan ke dalam armada TLDM pada 22 Julai 1977 bagi melambangkan keberanian, kesetiaan dan semangat mempertahankan tanah air yang begitu sinonim dengan tokoh pahlawan Melayu, Hang Tuah.
Kapal itu menjadi antara aset penting TLDM dalam memperkukuh keupayaan pertahanan maritim negara sepanjang hampir lima dekad perkhidmatannya apabila selain melaksanakan pelbagai operasi, kapal itu turut berperanan sebagai platform latihan yang membentuk ramai pegawai dan anggota TLDM.
Antara detik paling membanggakan dalam sejarah perkhidmatannya ialah apabila menyertai Operasi Fajar di Teluk Aden pada 2009 bagi mengiringi serta melindungi kapal dagang Malaysia daripada ancaman lanun, selain melaksanakan tanggungjawab memastikan laluan perdagangan negara terus selamat.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya juga sebelum menamatkan perkhidmatan rasminya melalui Istiadat Pelucutan Tauliah pada 3 Disember 2025, KD Hang Tuah sudah belayar melebihi 313,000 batu nautika serta menyertai pelbagai operasi dan eksesais di dalam mahupun luar negara.
Kredit sumber: Harian Metro
