KOTA KINABALU, 28 Julai 2027 – Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) memperkukuh komitmennya dalam memperkasakan ekosistem inovasi negara menerusi penganjuran Road to Growth (R2G) 2026 Sabah yang menghimpunkan inovator, usahawan teknologi, pelabur, agensi kerajaan serta pemain industri bagi memperluaskan peluang kerjasama dan pengkomersialan teknologi.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA) itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohammad Yusof Apdal.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan menjadi saluran penting untuk menghubungkan syarikat teknologi di Sabah dengan akses kepada pembiayaan, kepakaran teknologi, rangkaian strategik serta peluang pasaran yang mampu mempercepatkan pertumbuhan perniagaan berasaskan inovasi.
Menurutnya, pembangunan negara yang dipacu inovasi perlu diperluaskan ke seluruh negara, termasuk Sabah, agar manfaat teknologi dapat dinikmati oleh lebih ramai pemain industri dan komuniti.
“Teknologi bukan sahaja menjadi pemangkin kepada pemodenan, malah berperanan sebagai pemudah cara pembangunan yang mampu mengatasi cabaran geografi, meningkatkan produktiviti serta membuka peluang ekonomi baharu kepada masyarakat di bandar dan luar bandar.
“Melalui kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, potensi besar Sabah boleh diterjemahkan kepada pembangunan industri bernilai tinggi yang mampu menjana ekonomi mampan,” katanya ketika merasmikan R2G 2026 Sabah, hari ini.
Beliau berkata, Sabah mempunyai kelebihan dalam pelbagai sektor strategik termasuk pertanian dan keterjaminan makanan, sumber asli serta biodiversiti, tenaga boleh baharu, pelancongan dan ekonomi digital yang berpotensi diperkasakan menerusi penggunaan teknologi.
Sementara itu, Pengerusi MTDC, Tan Sri Abd. Rahman Mamat berkata, kejayaan sesuatu inovasi tidak hanya diukur melalui penciptaan teknologi semata-mata, sebaliknya berdasarkan keupayaannya menyelesaikan cabaran industri dan menjana nilai ekonomi.
Katanya, MTDC memberi tumpuan kepada pembangunan penyelesaian teknologi yang mampu meningkatkan produktiviti, membuka akses pasaran serta memperkukuhkan daya saing syarikat tempatan.
“Impak sebenar R2G akan dapat dilihat melalui kerjasama yang diwujudkan, teknologi yang berjaya dikomersialkan, pelaburan yang diperoleh serta pertumbuhan syarikat selepas program ini berakhir,” katanya.
Sejak ditubuhkan pada 1992, MTDC telah menyokong lebih 850 syarikat teknologi di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, pembangunan harta intelek, peningkatan keupayaan eksport serta pertumbuhan syarikat teknologi yang berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia dan bursa saham antarabangsa.
R2G 2026 Sabah turut memberi tumpuan kepada enam sektor utama, iaitu Elektrikal, Elektronik dan Semikonduktor, Revolusi Perindustrian Keempat serta Transformasi Digital, Keterjaminan Makanan, Ekonomi Hijau, Penjagaan Kesihatan dan Sains Hayat, serta Aeroangkasa dan Mobiliti Masa Hadapan.
Selain sesi ucaptama, program berkenaan turut menampilkan perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Panglima Hashim Paijan, mengenai kerjasama strategik dalam pembangunan ekosistem inovasi Sabah.
Peserta juga didedahkan dengan pelbagai inisiatif termasuk MySTI, MTDC SPHERE dan MTDC XGrowth, selain mengikuti forum yang membincangkan peluang pelaburan, keusahawanan dan kerjasama strategik bagi mempercepat pembangunan syarikat teknologi tempatan.
Sebagai Perunding Teknologi bagi inisiatif MySTI di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sejak Disember 2023, MTDC turut memainkan peranan menghubungkan penyedia teknologi tempatan dengan agensi kerajaan bagi memperluaskan penggunaan teknologi tempatan menerusi saluran perolehan kerajaan.
Menerusi penganjuran R2G 2026 Sabah, MTDC terus mengukuhkan peranannya sebagai pelabur teknologi dan pemangkin ekosistem inovasi negara dengan membantu syarikat Malaysia memperoleh akses kepada modal, kepakaran serta rangkaian pasaran bagi mempercepat pengkomersialan teknologi dan pertumbuhan perniagaan. – DAKWAT RAKYAT POST
