SANDAKAN, 28 Julai 2026 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah merekodkan sebanyak 127 aduan, lapan tangkapan dan tiga pertuduhan membabitkan sektor Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi tempoh 2021 hingga 2025.
Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata, statistik tersebut bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi peringatan supaya aspek tadbir urus serta kawalan dalaman terus diperkukuhkan.
Beliau berkata, pihaknya melihat komitmen yang ditunjukkan oleh kepimpinan dan warga PBT sebagai satu perkembangan positif dalam usaha mempertingkatkan tadbir urus, memperkemas tatakelola serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, telus dan berintegriti.
Menurutnya, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) perlu dijadikan titik permulaan kepada usaha penambahbaikan yang berterusan dalam membudayakan integriti di setiap organisasi.
“Kolaborasi di peringkat kerajaan yang kita lihat amat positif dengan pelbagai program serta aktiviti yang menyokong pelaksanaan agenda Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. Kita berharap kerjasama semua agensi, khususnya agensi kerajaan, dapat merealisasikan hasrat tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Ikrar Bebas Rasuah (IBR) melibatkan Ahli Majlis, Pegawai Pengurusan, Ketua Jabatan dan kakitangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) bagi tahun 2026 di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Fuad berkata, IBR tidak seharusnya hanya dilihat sebagai satu lafaz ikrar semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan amalan dalam menjalankan tugas seharian.
Katanya, SPRM akan terus memperluaskan usaha menyampaikan mesej pencegahan rasuah di seluruh Sabah selaras dengan pelaksanaan NACS 2024-2028.
“Walaupun Sabah mempunyai keluasan geografi yang mencabar, ia bukan halangan untuk kita terus menyampaikan mesej berkaitan pencegahan rasuah, integriti dan tadbir urus yang baik. Setiap tahun kita merancang pelbagai program agar usaha mendekati masyarakat dapat dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negeri,” katanya.
Pada majlis tersebut, bacaan Ikrar Bebas Rasuah diketuai Ketua Penolong Setiausaha Pentadbiran MPS, Elron Edika M. Sator sebelum diteruskan dengan sesi menandatangani ikrar oleh Pegawai Pengurusan dan Ahli Majlis MPS sebagai simbol komitmen terhadap budaya kerja berintegriti.
Turut hadir Timbalan Presiden I Majlis Perbandaran Sandakan, Irman Tajuddin Edy. – DAKWAT RAKYAT POST
