PAPAR, 28 Julai 2026 – Projek menaik taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinarut bernilai RM70.6 juta dijangka menjadi penyelesaian utama kepada masalah kesesakan lalu lintas selain meningkatkan tahap keselamatan pengguna di laluan Lok Kawi-Pengalat-Papar yang semakin pesat membangun.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelaksanaan projek itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya di negeri ini.
Menurut beliau, koridor Lok Kawi-Pengalat-Papar kini berkembang dengan pesat susulan pertambahan kawasan perumahan, premis kerajaan, institusi pendidikan serta produk pelancongan yang menyumbang kepada peningkatan jumlah kenderaan, terutama pada waktu puncak.
Katanya, keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang menjadi antara rungutan utama penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
“Sebagai kerajaan, kita sentiasa berusaha merancang serta melaksanakan pembangunan yang mampu membawa manfaat dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Lok Kawi dari Bulatan Sabindo ke SMK Kinarut di WSG Kinarut Show Gallery, hari ini.
Beliau berkata, projek sepanjang 1.3 kilometer itu melibatkan pelebaran jalan daripada dua lorong kepada empat lorong dua hala, sekali gus meningkatkan kapasiti laluan yang menjadi antara jalan utama menghubungkan kawasan berkenaan.
Tambahnya, kelulusan projek tersebut menunjukkan kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan mobiliti rakyat Sabah dan berusaha menyediakan kemudahan pengangkutan yang lebih selesa.
Selain kerja-kerja pelebaran jalan, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan keselamatan termasuk jejantas pejalan kaki, laluan berbumbung ke sekolah, hentian bas serta tempat perlindungan motosikal bagi memberi keselesaan kepada murid, pejalan kaki dan pengguna jalan raya.
Dalam perkembangan sama, Hajiji memberi jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan tanpa kelewatan.
Beliau turut menggesa semua jabatan serta agensi utiliti yang terlibat supaya mempercepatkan penyelesaian sebarang isu teknikal agar projek dapat disiapkan mengikut jadual.
“Kita tidak mahu sebarang kerenah birokrasi menjejaskan pelaksanaan projek yang amat penting ini. Kerjasama erat antara agensi Persekutuan dan kerajaan negeri perlu terus diperkukuhkan bagi memastikan kejayaan pelaksanaannya,” katanya.
Menurut Hajiji, pembangunan infrastruktur jalan raya yang moden, cekap dan selamat merupakan pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi, selain mampu menarik lebih banyak pelaburan serta memperkukuh sektor pelancongan negeri.
Beliau yakin projek itu bakal memendekkan tempoh perjalanan, meningkatkan kesalinghubungan antara kawasan dan merancakkan aktiviti ekonomi di daerah Papar selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya lagi, Papar kini mengalami perubahan pesat hasil pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan komersial, malah berpotensi muncul sebagai lokasi persinggahan utama pelawat dari Brunei dan Sarawak apabila Lebuhraya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak.
Pada majlis sama, Hajiji turut mengumumkan kelulusan Projek Jambatan Papar Ke-2 serta Projek Kerja Kecemasan Penambakan Batu dan Tanah di Sepanjang Tabing Sungai Intake Kogopon dan Kerja-Kerja Perlindungan Tebing Sungai yang dipohon Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, bagi meningkatkan kemudahan serta kesejahteraan rakyat di daerah itu. – DAKWAT RAKYAT POST
