SANDAKAN: Sandakan bersedia merombak sistem perdagangan tukar barang (barter trade) dengan selatan Filipina menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas yang akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh sektor itu serta merancakkan pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.
Inisiatif berkenaan diputuskan dalam sesi taklimat dan perbincangan yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, pengurusan pelabuhan serta pemain industri di Bangunan Majlis Perbandaran Sandakan, pada Khamis.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, jawatankuasa khas itu akan berperanan menyelaras pelbagai isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan untuk tindakan lanjut.
Menurut beliau, antara isu utama yang dikenal pasti ialah keadaan jeti barter trade yang semakin uzur, kekangan logistik serta prosedur pentadbiran yang dianggap menghalang perkembangan sektor perdagangan berkenaan.
Katanya, Sandakan mempunyai potensi besar untuk menikmati manfaat ekonomi daripada perdagangan barter kerana permintaan terhadap barangan dari Sabah di selatan Filipina jauh lebih tinggi berbanding jumlah barangan yang dibawa masuk ke negeri ini.
“Potensi bagi barter trade di Sandakan ini amat besar dan kita pihak Sandakan akan lebih mendapat manfaat berbanding dengan pihak di selatan Filipina sebab mereka lebih memerlukan kita untuk menghantar barang daripada kita menerima barang mereka. Jadi limpahan ekonomi itu akan lebih memihak pada kita dan kenapa tidak kita capitalise dan kita optimumkan peluang yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, antara cadangan yang dibincangkan ialah mewujudkan operasi pelabuhan utama dan pusat barter trade di bawah satu kompleks yang sama bagi mengurangkan kos pentadbiran, logistik dan kawalan keselamatan.
Cadangan tersebut juga dilihat mampu mempercepatkan urusan perdagangan serta aktiviti pemindahan kargo (transshipment), namun pelaksanaannya memerlukan pertimbangan di peringkat lebih tinggi kerana membabitkan dasar beberapa jabatan serta aspek keselamatan sempadan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee berkata, kemudahan jeti barter trade sedia ada tidak lagi sesuai kerana terlalu usang dan tidak mampu menampung kapal serta muatan yang lebih besar.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan kos pengangkutan meningkat sekali gus mengurangkan daya saing Sandakan sebagai hab perdagangan dengan selatan Filipina.
Menurutnya, model pusat sehenti yang dilaksanakan di Tawau boleh dijadikan contoh bagi membolehkan operasi pelabuhan dan barter trade dijalankan di lokasi yang sama demi meningkatkan kecekapan operasi.
“Jadi ini adalah daripada kerajaan negeri perlu ambil inisiatif ini. Kalau ada model yang boleh kami ambil untuk sebagai satu model, boleh kami jalankan di sana. Kami sepatutnya jalankan di mana, macam presiden yang tadi dikongsikan juga, kalau dua-dua port boleh dijalankan di satu kawasan yang sama, operasinya lebih bagus dan juga ia benefit semua pemaju-pemaju ataupun shippers. Transshipment dia boleh dibuatkan di kawasan yang sama,” katanya.
Beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan penyediaan peruntukan bagi menaik taraf jeti sedia ada atau memindahkan operasi barter trade ke lokasi yang lebih strategik supaya lebih banyak kapal dan muatan dapat dikendalikan.
Langkah itu diyakini mampu meningkatkan kecekapan perdagangan rentas sempadan, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada Sandakan dan kawasan sekitarnya. – DAKWAT RAKYAT POST
