KOTA KINABALU: Parti Warisan mempersoalkan dakwaan wujudnya perbezaan pendekatan dalam pengendalian dua kes gangguan seksual yang berlaku di dua hospital berbeza, termasuk satu kes di Sabah yang didakwa hanya menyaksikan tindakan pentadbiran diambil selepas hampir setahun.
Ketua Biro Kesihatan Parti Warisan, Dr Istefan Koh, berkata kes terbaharu yang melibatkan seorang ketua jabatan di sebuah hospital jantung memperlihatkan tindakan segera apabila pegawai terbabit diarahkan bercuti sebaik sahaja dakwaan dikemukakan dan siasatan dimulakan.
Menurut beliau, meskipun dakwaan itu masih melalui proses perundangan dan belum diputuskan oleh mahkamah, langkah awal berkenaan menunjukkan komitmen pihak pentadbiran dalam melindungi pengadu, memelihara integriti siasatan serta mengekalkan keyakinan masyarakat terhadap institusi kesihatan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa situasi di Sabah berbeza apabila aduan pertama terhadap seorang pengarah hospital dikatakan telah disiasat melalui mekanisme dalaman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kira-kira setahun lalu, malah keputusan siasatan juga didakwa telah diperoleh.
Namun, katanya, individu terbabit terus memegang jawatan kepimpinan sepanjang tempoh itu tanpa sebarang tindakan pentadbiran yang jelas sehingga muncul pengadu kedua dan isu berkenaan mendapat perhatian meluas daripada orang ramai.
“Jika institusi lain di bawah KKM mampu mengambil tindakan segera bagi menjaga integriti tempat kerja, mengapa perkara sama tidak dapat dilakukan dengan kadar segera di Sabah?” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Istefan berkata masyarakat berhak mengetahui sebab keputusan hasil siasatan dalaman tidak dilaksanakan lebih awal, pihak yang bertanggungjawab memastikan pelaksanaan keputusan tersebut serta tindakan susulan selepas siasatan selesai.
Beliau menegaskan bahawa siasatan dalaman tidak akan memberi makna sekiranya dapatan dan syor yang dikemukakan tidak disusuli dengan tindakan sewajarnya.
Menurutnya lagi, keadaan itu turut menimbulkan persoalan mengenai kredibiliti sistem pengendalian aduan dalaman, termasuk Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Katanya, petugas kesihatan perlu mempunyai keyakinan bahawa setiap aduan, khususnya yang melibatkan pegawai kanan, akan dikendalikan secara bebas, profesional dan diikuti tindakan yang bersesuaian.
“Jika keputusan hasil siasatan boleh tertangguh selama berbulan-bulan tanpa pelaksanaan, bagaimana kakitangan mahu terus yakin bahawa sistem itu benar-benar melindungi mereka?” katanya.
Beliau turut mempersoalkan peranan kepimpinan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam memastikan aduan serius membabitkan pegawai kanan dikendalikan secara cekap dan berkesan.
Menurut beliau, sekiranya berlaku kegagalan melaksanakan keputusan hasil siasatan dalaman, keadaan itu mencerminkan kelemahan serius dari sudut kepimpinan dan tadbir urus.
Sebaliknya, jika perkara itu tidak diketahui oleh Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, beliau berkata situasi tersebut turut menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan sistem pemantauan dalam jabatan berkenaan.
Dr Istefan turut membangkitkan persoalan sama ada kemunculan pengadu kedua dapat dielakkan sekiranya tindakan pentadbiran diambil sebaik sahaja siasatan terhadap aduan pertama selesai.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan perkara itu perlu dinilai menerusi siasatan yang telus dan bukannya berdasarkan andaian atau spekulasi.
Menurutnya, isu tersebut bukan lagi sekadar berkaitan tindakan terhadap seorang individu, sebaliknya melibatkan keberkesanan sistem perlindungan petugas kesihatan, tanggungjawab kepimpinan dan tahap akauntabiliti penjawat awam apabila berlaku kelemahan dalam sistem.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia menjelaskan garis masa pengendalian kes berkenaan setakat yang dibenarkan undang-undang, memperincikan faktor yang menyebabkan kelewatan tindakan pentadbiran diambil serta memaklumkan sama ada semakan bebas akan dilaksanakan terhadap cara kes itu dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
Pada masa sama, beliau berkata orang ramai juga berhak mempersoalkan sama ada Pengarah Kesihatan Negeri Sabah perlu mengambil tanggungjawab terhadap isu tersebut, termasuk mempertimbangkan peletakan jawatan.
“Kebertanggungjawaban, ketelusan dan integriti bukanlah satu pilihan, sebaliknya merupakan asas utama dalam perkhidmatan awam,” katanya. – DAKWAT RAKYAT POST
