TENOM: Kerajaan disaran mengambil tindakan segera bagi mengatasi pelbagai kelemahan aplikasi MyJPJ yang didakwa terus menimbulkan kesulitan kepada pengguna, khususnya penduduk di kawasan pedalaman seperti Tenom.
Mantan Ahli Parlimen Tenom yang juga Ketua Bahagian UMNO Tenom, Datuk Raime Unggi berkata, beliau menerima semakin banyak aduan daripada orang ramai berhubung masalah teknikal aplikasi berkenaan yang didakwa kerap tergendala, lambat beroperasi dan gagal memenuhi tujuan asal pendigitalan perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurutnya, isu tersebut bukan sahaja dilaporkan oleh pengguna, malah beliau sendiri berdepan pengalaman serupa ketika cuba menggunakan aplikasi berkenaan untuk urusan pendaftaran secara dalam talian.
Katanya, sistem yang tidak stabil menyebabkan proses yang sepatutnya dapat diselesaikan secara digital gagal dilaksanakan dengan lancar, sekali gus memaksa pengguna mendapatkan bantuan melalui saluran lain.
“Saya sendiri mengalami kesukaran menggunakan aplikasi itu. Apabila cuba membuat pendaftaran secara dalam talian, sistem tidak berfungsi seperti yang diharapkan. Lebih mengecewakan apabila pengguna yang menghubungi talian bantuan akhirnya diminta hadir ke kaunter atau kiosk JPJ untuk menyelesaikan urusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelaksanaan sistem digital yang diperkenalkan bagi memudahkan urusan rakyat.
Menurutnya, jika pengguna masih perlu hadir secara fizikal ke pejabat JPJ selepas berdepan kegagalan sistem, matlamat pendigitalan perkhidmatan awam sukar untuk dicapai sepenuhnya.
Raime berkata, masalah berkenaan bukan sahaja menyebabkan rakyat kehilangan masa, malah menambah beban kewangan kerana mereka terpaksa mengeluarkan kos perjalanan untuk mendapatkan perkhidmatan yang sepatutnya boleh dilakukan secara dalam talian.
Katanya, keadaan itu seolah-olah membawa pengguna kembali kepada kaedah lama walaupun pelbagai inisiatif pendigitalan telah diperkenalkan kerajaan.
“Pendigitalan seharusnya mempermudah urusan rakyat, bukannya menambah kesukaran atau mewujudkan proses yang lebih rumit. Rakyat mengharapkan sistem yang cekap dan boleh diakses pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan nilai pelaburan yang dibelanjakan bagi membangunkan sistem tersebut sekiranya pengguna masih berdepan pelbagai masalah untuk mengakses perkhidmatan yang disediakan.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan setiap inisiatif digital yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukannya sekadar memenuhi agenda transformasi teknologi semata-mata.
Raime berkata, kegagalan menangani masalah yang berlarutan boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap usaha pendigitalan sektor perkhidmatan awam.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan dan JPJ mengambil langkah penambahbaikan secara menyeluruh terhadap aplikasi MyJPJ termasuk meningkatkan kestabilan sistem, memperkukuh prestasi aplikasi serta memastikan saluran bantuan pelanggan dapat menyelesaikan masalah pengguna dengan lebih berkesan.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan rakyat benar-benar dapat menikmati kemudahan digital yang berkualiti, cekap dan memenuhi keperluan semasa. – DAKWAT RAKYAT POST
