TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) disaran terus diperkasakan menerusi pengisian yang lebih kreatif dan menyeluruh bagi menonjolkan keunikan warisan pelbagai etnik pada penganjuran akan datang.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, antara aspek yang boleh diberikan penekanan ialah persembahan muzik tradisional, alat muzik, tarian kebudayaan, adat istiadat perkahwinan serta elemen kepahlawanan setiap etnik yang mengambil bahagian.
Menurut beliau, usaha memperkayakan kandungan festival itu penting bagi memastikan FKAT terus berkembang sebagai platform mempromosikan kepelbagaian budaya masyarakat Tawau, di samping menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Saya yakin pada masa akan datang festival ini akan terus dipertingkatkan dengan lebih banyak pengisian berkaitan seni budaya seperti muzik, tarian, kepahlawanan, adat perkahwinan dan pelbagai lagi warisan yang dimiliki setiap etnik.
“Kita berharap penganjuran pada masa hadapan mampu mempersembahkan budaya dengan lebih menarik sekali gus menjadi tarikan kepada pelancong luar untuk datang ke Tawau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke gerai pameran membabitkan 32 etnik yang menyertai FKAT 2026 di Tawau, malam tadi. Turut hadir ialah isterinya, Datin Wahida Mardiana Norsalim.
Nizam berkata, penganjuran FKAT yang kini memasuki edisi ke-11 membuktikan komitmen berterusan semua etnik dalam memelihara dan mengetengahkan warisan budaya masing-masing kepada masyarakat.
Katanya, kepelbagaian budaya yang dipersembahkan bukan sahaja menjadi identiti masyarakat di daerah itu, malah mencerminkan keharmonian hubungan antara kaum yang menjadi kekuatan utama Tawau.
“Walaupun kita terdiri daripada pelbagai suku kaum, hubungan yang erat dan semangat muafakat yang ditunjukkan amat jelas. Inilah keistimewaan Tawau yang perlu terus dipelihara.
“Saya percaya penganjuran festival ini setiap tahun mampu mengukuhkan lagi silaturahim selain memperkenalkan budaya masyarakat pelbagai etnik di Tawau kepada orang ramai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata penyertaan lima negara iaitu Uzbekistan, Kazakhstan, Kemboja, Indonesia dan Sri Lanka pada FKAT 2026 membuka ruang lebih luas untuk mempromosikan Tawau sebagai destinasi pelancongan berteraskan kebudayaan.
Menurutnya, kehadiran delegasi antarabangsa bukan sahaja memeriahkan festival, malah memberi peluang kepada masyarakat tempatan mengenali budaya negara lain sambil memperkenalkan kekayaan budaya Sabah kepada komuniti antarabangsa.
“Sudah tentu penyertaan negara luar memberikan nilai tambah kepada festival ini dan menjadi daya tarikan kepada pelancong untuk mengenali serta berkunjung ke Tawau,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebagai penganjur utama kerana berjaya mengekalkan kesinambungan FKAT selama 11 penganjuran dengan pelbagai penambahbaikan dari semasa ke semasa.
Katanya, sambutan yang diterima pada FKAT 2026 amat memberangsangkan apabila bukan sahaja mendapat perhatian masyarakat tempatan, malah turut dikunjungi pelancong asing yang hadir menyaksikan pelbagai acara dan persembahan budaya.
FKAT 2026 dijadual melabuhkan tirainya pada 1 Ogos ini dengan majlis penutupan rasmi akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor. – DAKWAT RAKYAT POST
