TENOM, 31 Julai 2026 – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya menggagalkan kegiatan penyimpanan rokok tidak bercukai selepas merampas 134,600 batang rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM167,520 dalam satu serbuan di Kampung Amboi, di sini, semalam.
Operasi yang dijalankan kira-kira jam 8.20 pagi itu dilaksanakan hasil kerjasama antara PPM Wilayah 4 Sabah dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom.
Ketika serbuan dilakukan di sebuah stor tidak bernombor, seorang lelaki yang dipercayai menjaga premis berkenaan bertindak melarikan diri ke arah kawasan kebun getah berhampiran sebelum sempat ditahan.
Pemeriksaan lanjut di dalam stor menemukan sejumlah 134,600 batang rokok yang dipercayai tidak bercukai membabitkan pelbagai jenama, antaranya Grow, Tex Light, Astro Blue Berry Fuze serta beberapa jenama lain.
Kesemua rokok berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM167,520.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan yang dipercayai diseludup.
Sementara itu, Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Ahmad Amri Abd Rahman berkata, sehingga 30 Julai lalu, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 44 kes di bawah Akta Kastam 1967.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 30 individu telah ditahan dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM6,208,256.66.
Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempertingkatkan operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan di negeri ini, sekali gus memastikan keselamatan serta kepentingan ekonomi negara terus terpelihara. – DAKWAT RAKYAT POST
