KINABATANGAN, 5 Ogos 2026 – Hampir 3,000 penduduk di tiga kampung dalam Mukim Batu Puteh kini berdepan kebimbangan berterusan apabila sekumpulan lebih 20 ekor gajah liar dilaporkan memasuki kawasan penempatan dan kebun sejak 25 Julai lalu.
Kehadiran kumpulan gajah itu bukan sahaja mengancam keselamatan penduduk, malah menyebabkan kerosakan tanaman sehingga menjejaskan sumber pendapatan masyarakat yang bergantung kepada hasil pertanian.
Antara kawasan yang menerima kesan paling ketara ialah kebun kelapa sawit milik Abdul Azim Ramlon di Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, yang mengalami kerosakan selepas gajah liar mula memasuki kawasan berkenaan pada 25 Julai dan masih dilihat berkeliaran di sekitar kampung sehingga kini.
Menurut Abdul Azim, kumpulan gajah tersebut kebiasaannya muncul pada waktu malam hingga awal pagi dan pernah berada di kebunnya selama beberapa hari berturut-turut. Berdasarkan rondaan yang dilakukan penduduk, dianggarkan lebih 20 ekor gajah berada dalam kumpulan berkenaan.
Beliau menganggarkan kira-kira 60 peratus kawasan kebunnya mengalami kerosakan termasuk jalan ladang serta pokok kelapa sawit. Katanya, banyak pucuk pokok sawit telah ditarik oleh gajah, sekali gus menjejaskan pertumbuhan pokok dan dijangka mengambil masa yang lama untuk pulih.
Penduduk turut percaya kerosakan pagar elektrik yang sebelum ini berfungsi menghalang kemasukan gajah menjadi antara punca haiwan liar itu dapat memasuki kawasan kebun dan penempatan penduduk.
Pagar yang dibina hasil sumbangan sebuah badan bukan kerajaan dengan kerjasama penduduk kampung itu dilaporkan tidak lagi berfungsi sejak kira-kira setahun lalu.
Tiga kampung yang terjejas ialah Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, Kampung Batu Puteh dan Kampung Manggaris, melibatkan sekurang-kurangnya 20 lot kebun kelapa sawit milik penduduk.
Bagi mengurangkan risiko, dua pasukan khas telah ditubuhkan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar untuk memantau keadaan dan menghalau kumpulan gajah kembali ke kawasan hutan menggunakan siren.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Perpaduan Datuk Mohd Ugi, Azman Amirbek berkata, tindakan itu dilaksanakan sebagai langkah segera sementara menunggu penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Bagaimanapun, usaha menghalau gajah itu disifatkan hanya mampu memberi penyelesaian sementara sekiranya sistem pagar dan penghalang sedia ada tidak dibaik pulih.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, konflik antara manusia dan gajah liar di kawasan berkenaan semakin memberi kesan terhadap keselamatan penduduk serta ekonomi setempat.
Beliau berkata, satu pelan tindakan akan dirangka bersama Jabatan Hidupan Liar dan Pejabat Daerah Kinabatangan bagi mendapatkan peruntukan pembinaan pagar di kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi panas.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya diwujudkan satu dasar atau enakmen yang mewajibkan syarikat-syarikat ladang berhampiran membina pagar elektrik bagi menghalang gajah daripada memasuki kawasan kampung.
Menurutnya, langkah berkenaan penting bagi menamatkan konflik yang berlarutan sejak sekian lama, di samping memastikan usaha memelihara hidupan liar dapat dilaksanakan secara seimbang dengan kepentingan keselamatan penduduk.
Beliau turut mengakui gajah merupakan aset hidupan liar yang menjadi tarikan utama pelancong ke Kinabatangan dan menyumbang kepada ekonomi masyarakat setempat, namun penyelesaian jangka panjang perlu diwujudkan agar konflik antara manusia dan haiwan itu dapat dikurangkan. – DAKWAT RAKYAT POST
