KOTA KINABALU, 5 Ogos 2026 – Program Tunas Niaga (PROTUNE) Peringkat Negeri Sabah 2025 mencatatkan jumlah jualan keseluruhan melebihi RM1.4 juta sepanjang tempoh sembilan bulan pelaksanaannya, sekali gus membuktikan potensi besar pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, syarikat-syarikat PROTUNE yang diusahakan oleh sekolah peserta berjaya merekodkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM1,408,632.26 dengan keuntungan bersih mencecah RM380,098.41.
Menurut beliau, pencapaian itu mencerminkan komitmen tinggi, kreativiti dan kesungguhan para pelajar bersama guru pembimbing dalam mengurus serta membangunkan syarikat sekolah masing-masing sepanjang program berlangsung.
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa kejayaan PROTUNE tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah jualan dan keuntungan semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira pengalaman yang diperoleh peserta dalam membentuk keyakinan diri, kemahiran kepimpinan, komunikasi, penyelesaian masalah serta semangat kerja berpasukan.
“Pengalaman dan ilmu yang diperoleh menerusi program ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan muda yang mampu bersaing serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu, selaras dengan aspirasi Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan Wawasan Sabah First,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penganugerahan Konvensyen PROTUNE Peringkat Negeri Sabah 2025 di Kota Kinabalu, hari ini.
Dalam pada itu, Ewon turut mengumumkan penambahan insentif kepada sekolah-sekolah yang berjaya mara ke peringkat akhir apabila setiap daripada 15 sekolah finalis akan menerima dana tambahan sebanyak RM2,000 menerusi Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan Menteri MINDET.
Selain itu, syarikat sekolah yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah PROTUNE 2025 turut akan menerima tambahan dana berjumlah RM10,000 daripada tabung khas yang sama bagi membantu memperkukuh pembangunan keusahawanan mereka.
Program PROTUNE dianjurkan oleh SEDCovest, anak syarikat SEDCO, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bagi memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.
Menurut Ewon, kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET) akan terus menyokong pelaksanaan program itu menerusi peruntukan pembangunan keusahawanan yang disalurkan kepada SEDCovest bagi memastikan agenda melahirkan usahawan muda dapat diteruskan secara berterusan.
Beliau berkata, seramai 45 sekolah dari seluruh Sabah mengambil bahagian dalam program tersebut, dengan hanya 15 sekolah berjaya melangkah ke peringkat akhir.
Mengulas mengenai impak program itu, beliau memaklumkan statistik alumni PROTUNE menunjukkan 68 peratus peserta melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, manakala 21 peratus telah memperoleh pekerjaan. Sementara itu, sembilan peratus masih mencari pekerjaan dan dua peratus memilih untuk menceburi bidang keusahawanan.
Katanya, pencapaian itu membuktikan PROTUNE bukan sekadar memperkenalkan asas keusahawanan, malah berjaya membentuk kemahiran insaniah dan meningkatkan keyakinan diri peserta sebagai persediaan menghadapi dunia pengajian tinggi, alam pekerjaan atau perniagaan.
Beliau menambah, dalam landskap ekonomi yang sentiasa berubah, Sabah memerlukan lebih ramai golongan muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri, justeru PROTUNE memainkan peranan penting dalam melahirkan usahawan yang inovatif, berdaya tahan dan berdaya saing.
Ewon berharap program berkenaan akan terus diperkasakan pada masa hadapan bagi melahirkan lebih ramai usahawan muda yang kreatif serta mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Pada majlis sama, SMK Sepagaya, Lahad Datu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Syarikat PROTUNE Terbaik 2025 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,500 berserta piala dan sijil penghargaan.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Tetap MINDET, Moira David; Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan), Haji Azrul Haji Ahmad; Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muddin Beting; serta Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Yahyah Sidek. – DAKWAT RAKYAT POST
