KOTA KINABALU: Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah diingatkan supaya menerima setiap arahan serta perubahan yang diperkenalkan, dengan sikap terbuka, dan memanfaatkan kemajuan teknologi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata setiap perubahan dilaksanakan bertujuan memperkukuh organisasi dan bukannya membebankan warga pasukan.
Justeru, beliau berkata, anggota dan pegawai tidak sepatutnya mewujudkan persepsi negatif terhadap setiap arahan baharu, sebaliknya melaksanakan amanah diberikan itu dengan penuh tanggungjawab.
“Jangan memperkatakan arahan baharu itu salah atau tidak sesuai. Saya mahu semua memberi kerjasama dan menerima perubahan yang diperkenalkan demi kebaikan pasukan.
“Kita perlu bersatu hati dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman menyerahkan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu kepada Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain.
Dalam pada itu, Jauteh berkata, kemajuan teknologi kini perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kecekapan tugas, terutama dalam penyiasatan dan penyediaan kertas siasatan.
Beliau berkata, ketika memulakan kerjayanya dalam pasukan dulu, kebanyakan tugasan termasuk penyediaan kertas siasatan, dilakukan secara manual dan mengambil masa lebih lama untuk diselesaikan.
“Dulu, saya membuka kira-kira 50 kertas siasatan sebulan membabitkan kes indeks dan bukan indeks. Kini, pegawai penyiasat mampu mengendalikan lebih 200 kertas siasatan setahun dengan bantuan sistem lebih moden.
“Gunakan kemudahan yang ada untuk mempercepatkan siasatan supaya masyarakat mendapat keadilan dengan lebih cepat. Jangan apabila kerja menjadi lebih mudah, kita pula menjadi malas,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman mengendalikan kes pembunuhan pada awal perkhidmatannya memperlihatkan keseluruhan proses siasatan ketika itu dilakukan secara bertulis dan mengambil masa hingga tujuh hari untuk disiapkan.
Katanya, keadaan kini jauh berbeza apabila pelbagai sistem digital membantu mempercepatkan penyediaan dokumen siasatan serta urusan operasi.
Kredit sumber: Berita Harian
