STROK bukan sekadar penyakit menyebabkan lumpuh, malah kini satu kecemasan perubatan yang memerlukan rawatan segera.
Setiap minit kelewatan boleh mengakibatkan berjuta-juta sel otak mati secara kekal.
Pakar Perunding Neurologi dan Perubatan Dalaman Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Hoo Fan Kee, berkata strok berlaku apabila aliran darah ke otak terganggu sama ada disebabkan saluran darah tersumbat atau pecah, sekali gus menyebabkan sel-sel otak kekurangan oksigen.
Beliau berkata, kira-kira 80 peratus kes strok adalah strok iskemik iaitu akibat saluran darah tersumbat manakala selebihnya ialah strok berdarah yang berlaku apabila saluran darah di otak pecah.
“Strok adalah satu kecemasan perubatan akut dan antara punca utama kematian di Malaysia.
“Apa yang paling penting ialah pesakit perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana terdapat tempoh untuk menyelamatkan tisu otak yang masih hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perbincangan ‘Time is Brian: Rapid Action Againts Acute Ischemic Stroke di sini, baru-baru ini.
Dr Fan Kee berkata, bagi pesakit strok iskemik, matlamat utama rawatan adalah membuka semula saluran darah yang tersumbat supaya bekalan darah ke otak dapat dipulihkan.
Suntikan pemecah darah beku
Katanya, rawatan boleh dilakukan melalui suntikan ubat pemecah darah beku (thrombolysis) atau prosedur thrombectomy bagi mengeluarkan darah beku secara mekanikal bagi kes yang membabitkan saluran darah besar.
Namun katanya, peluang untuk menerima rawatan berkenaan bergantung kepada kepantasan pesakit tiba di hospital.
“Secara idealnya, pesakit perlu menerima rawatan dalam tempoh 4.5 jam selepas simptom bermula.
“Malangnya di Malaysia, purata pesakit hanya tiba di hospital selepas tujuh jam, sekali gus menyebabkan mereka terlepas peluang mendapatkan rawatan yang paling berkesan,” katanya.
Beliau berkata, kelewatan itu lazimnya berlaku kerana ramai pesakit gagal mengenali simptom strok atau menganggap keadaan itu hanya disebabkan salah tidur, masalah leher atau pening biasa.
Selain itu katanya, ada juga yang memilih mendapatkan rawatan tradisional terlebih dahulu sebelum ke hospital sehingga tempoh rawatan kritikal berakhir.
Dr Fan Kee berkata, kaedah ‘BE FAST’ adalah kaedah terbaik bagi mengenal pasti tanda awal strok.
Katanya, B atau Balance merujuk kepada kehilangan keseimbangan secara tiba-tiba, E (Eyes) ialah penglihatan kabur atau hilang secara mengejut, F (Face) apabila muka menjadi senget, A (Arm) iaitu tangan atau kaki lemah sebelah.
S (Speech) apabila pertuturan menjadi tidak jelas, manakala T (Time) menekankan kepentingan menghubungi talian kecemasan atau segera ke hospital.
“Sebaik sahaja simptom muncul, jangan tunggu ia hilang sendiri dan jangan cuba rawatan alternatif seperti mencucuk jari. ‘Time is Brain’,” katanya.
Percepat proses rawatan
Sementara itu, Ketua Jabatan Kecemasan dan Perunding Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohd Idrose berkata, setiap pesakit yang disyaki mengalami strok akan diberikan keutamaan sebaik tiba di Jabatan Kecemasan.
Katanya, pesakit yang mengalami muka senget, lemah sebelah badan atau pertuturan tidak jelas akan terus ditempatkan di Zon Merah sebelum protokol strok diaktifkan membabitkan pakar neurologi dan radiologi.
“Sasaran kami ialah melakukan imbasan CT dalam tempoh kurang 25 minit selepas pesakit tiba supaya jenis strok dapat dikenal pasti dan rawatan boleh dimulakan segera,” katanya.
Beliau berkata, kemajuan teknologi perubatan turut mempercepatkan proses rawatan apabila ubat pemecah darah beku yang sebelum ini diberikan melalui infusi selama sejam kini mempunyai pilihan suntikan sekali sahaja, sekali gus mempercepatkan pemulihan aliran darah ke otak.
Dr Alzamani berkata, konsep ‘Time is Brain’ bukan sekadar slogan kerana bagi setiap satu minit saluran darah ke otak tersumbat, kira-kira dua juta sel otak akan mati dan tidak dapat digantikan.
“Semakin lama pesakit menunggu, semakin tinggi risiko mengalami kecacatan kekal seperti lumpuh, hilang keupayaan bercakap dan bergantung kepada orang lain untuk menguruskan kehidupan harian,” katanya.
Beliau turut mengingatkan, orang ramai supaya mengetahui hospital yang mempunyai kemudahan rawatan strok kerana bukan semua hospital menyediakan ubat pemecah darah beku atau perkhidmatan strok komprehensif.
Pada masa sama, beliau berharap lebih ramai rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengawal tekanan darah, diabetes dan kolesterol, berhenti merokok, kekal aktif serta mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom strok.
“Jangan tunggu sehingga petang atau esok untuk melihat sama ada keadaan akan pulih. Bertindak segera kerana setiap minit yang diselamatkan memberi peluang lebih besar untuk pesakit kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Kena serangan walaupun aktif bersenam
Sementara itu, pesakit yang terselamat daripada strok, Mohd Adnan Zambahari, 68, menyifatkan pengalaman dilaluinya pada Mei lalu sebagai titik yang mengubah persepsi terhadap penyakit berkenaan.
Bekas perunding kejuruteraan itu berkata, sebelum ini dia tidak pernah terfikir dirinya berisiko diserang strok kerana merasakan tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik.
Selain itu, beliau juga mengamalkan gaya hidup sihat, bersenam setiap hari dan tiada penyakit lain.
Katanya, kejadian berlaku ketika dia masuk ke tandas pada lewat malam sebelum tiba-tiba badannya menjadi lemah dan tangan tidak dapat digerakkan.
“Saya terus menjerit memanggil isteri dan mujur dia mendengar jeritan itu sebelum segera menghubungi rakan kami yang juga seorang doktor untuk datang ke rumah.
“Selepas memeriksa keadaan saya, doktor terbabit meminta supaya saya dibawa ke hospital dengan segera bagi mendapatkan rawatan,” katanya.
Mohd Adnan berkata, dia pada mulanya dibawa ke Hospital Batu Gajah, namun kemudiannya dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh kerana hospital berkenaan tidak menyediakan rawatan strok.
Katanya, hanya selepas tiba di HRPB barulah dia dimaklumkan bahawa dirinya mengalami serangan strok.
“Syukur Alhamdulillah, selepas menerima rawatan segera, dalam tempoh 24 jam tangan saya sudah mampu bergerak semula dan kini keadaan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala.
“Doktor memaklumkan, saya amat bernasib baik kerana mendapatkan rawatan dengan cepat. Tindakan segera itulah yang banyak membantu proses pemulihan,” katanya.
Mengimbau pengalaman itu, Mohd Adnan mengakui sebelum ini pengetahuannya mengenai strok sangat terhad dan hanya benar-benar memahami penyakit berkenaan selepas menerima rawatan di hospital.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih peka terhadap simptom strok walaupun mengamalkan gaya hidup sihat kerana penyakit itu boleh menyerang sesiapa sahaja.
Katanya, sebarang tanda seperti kelemahan anggota badan, kesukaran bertutur atau perubahan mendadak pada wajah tidak boleh dipandang ringan dan perlu mendapatkan rawatan segera kerana tindakan pantas mampu menyelamatkan nyawa serta mengurangkan risiko kecacatan kekal.
Kredit sumber: Berita Harian
