Kuantan: Kira-kira satu tan hasil laut dirampas susulan penahanan sebuah vesel nelayan asing Vietnam yang disyaki menceroboh perairan negara dan menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di kedudukan 102 batu nautika timur laut Pelabuhan Kuantan, di sini, Isnin lalu.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum dipintas dan ditahan jam 2.40 pagi.
Katanya, penahanan itu dilakukan kapal Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Makmur, Ops Naga, Ops Iman, Ops Tiris dan Ops Pelantar Merah.
“Ketika operasi penggeledahan dijalankan, berlaku tindakan agresif daripada kru vesel yang menyebabkan pergelutan. Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal hasil tindakan pantas dan profesional anggota Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan oleh 18 kru warga Vietnam termasuk seorang tekong yang berusia antara 21 dan 55 tahun.
“Dalam kes ini, vesel disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dan gagal melaporkan ketibaan di perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.
“Kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan negara tanpa kebenaran yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda sehingga RM6 juta, manakala setiap kru boleh dikenakan denda sehingga RM600,000.
Katanya, vesel bersama kira-kira 1,000 kilogram hasil laut serta semua kru diiring ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Terengganu sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk vesel dan hasil tangkapan dianggarkan melebihi RM6 juta.
“Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras pencerobohan vesel asing serta aktiviti perikanan haram.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Pahang di talian 09-571 7345 atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.
Kredit sumber: Harian Metro
