KOTA KINABALU, 6 Ogos 2026 – Kerajaan Sabah mahu perkembangan positif berkaitan tahap keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) dipromosikan dengan lebih meluas kepada wakil-wakil negara asing bagi meningkatkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, maklumat berhubung peningkatan keselamatan di kawasan berkenaan perlu disampaikan secara lebih berkesan kepada kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara luar agar mereka dapat menilai semula nasihat perjalanan yang dikeluarkan kepada rakyat masing-masing.
Beliau berkata, langkah itu penting memandangkan tiada sebarang kes penculikan untuk wang tebusan direkodkan di ESS Zone sejak Januari 2020, sekali gus membuktikan keberkesanan kawalan keselamatan yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, perkembangan itu mampu meningkatkan keyakinan pelancong antarabangsa untuk kembali berkunjung ke Sabah, khususnya ke destinasi pelancongan terkenal di Pantai Timur negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Bersama ESS Zone bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, di Menara Kinabalu pada Khamis.
Hajiji turut memaklumkan bahawa keadaan keselamatan di ESS Zone ketika ini berada pada tahap yang baik dan terkawal hasil kerjasama erat semua agensi keselamatan.
Katanya, beliau baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke enam buah pulau di perairan Sabah bagi meninjau sendiri kedudukan pos kawalan serta tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan yang bertugas di lapangan.
Beliau menyifatkan tempoh enam tahun tanpa insiden penculikan untuk wang tebusan sebagai satu pencapaian membanggakan yang mencerminkan keberkesanan usaha berterusan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi keselamatan lain.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang terus komited mempertahankan keselamatan perairan dan daratan di Sabah Timur demi memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat dan pelancong sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan semua agensi berkaitan bagi meningkatkan keupayaan operasi, memperkasakan aset keselamatan, mempertingkat tahap kesiapsiagaan serta menjaga kebajikan anggota yang bertugas.
Mesyuarat itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Awang Alik Jeman. – DAKWAT RAKYAT POST
