KOTA KINABALU, 12 Ogos 2026 – Sabah terus memperkukuh institusi kehakiman dan perundangan syariah menerusi pelaksanaan pelbagai pembaharuan, termasuk kelulusan Rang Undang-Undang Pewarisan Orang Islam 2026 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 22 Julai lalu.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr.) Musa Haji Aman berkata, perkembangan berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk membangunkan sistem perundangan syariah yang lebih dinamik, moden dan berlandaskan keadilan.
Menurut beliau, kelulusan rang undang-undang itu merupakan satu langkah penting dalam memperkemas pengurusan harta pusaka dalam kalangan orang Islam, selain menjadi inisiatif perundangan pertama seumpamanya di negara ini.
“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan Sabah dalam menerajui pembangunan perundangan syariah yang dinamik, moden dan berteraskan nilai keadilan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Tun Musa berkata, usaha melakukan transformasi dan pembaharuan dalam perundangan syariah bukan hanya berkaitan perubahan terhadap struktur atau sistem, malah melibatkan pengukuhan institusi, peningkatan tahap profesionalisme serta pembentukan budaya kerja yang berteraskan amanah, integriti dan akauntabiliti.
Katanya, beliau turut menyokong usaha memperkukuh institusi Islam, khususnya institusi kehakiman syariah, supaya terus memainkan peranan penting dalam memastikan keadilan ditegakkan, keharmonian masyarakat dipelihara dan kebajikan rakyat terjamin.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata antara pembaharuan yang sudah dilaksanakan di Sabah ialah pelantikan hakim syarie wanita serta pembangunan kemudahan Mahkamah Syariah di enam daerah.
Daerah terbabit ialah Kota Kinabalu, Keningau, Beaufort, Kinabatangan, Lahad Datu dan Semporna.
“Tiga lagi infrastruktur yang sama sedang dibina di Papar, Tawau dan Kota Belud,” katanya.
Tun Musa berkata, peranan Mahkamah Syariah semakin signifikan dalam menghadapi pelbagai isu sosial yang timbul dalam masyarakat, terutama berkaitan institusi kekeluargaan, perlindungan hak wanita dan kanak-kanak, nafkah, pewarisan serta pelbagai tuntutan syariah.
Jelas beliau, penyelesaian terhadap isu berkenaan tidak seharusnya bergantung kepada peruntukan undang-undang semata-mata, sebaliknya perlu disertai nilai ihsan, kebijaksanaan dan pertimbangan terhadap kepentingan masyarakat.
Beliau berkata, tahap kecemerlangan Mahkamah Syariah juga tidak wajar dinilai hanya berdasarkan jumlah kes yang berjaya diselesaikan.
Sebaliknya, katanya, perkara lebih penting ialah sejauh mana institusi berkenaan mampu memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa keadilan dapat dilaksanakan secara telus, berkesan dan bermaruah.
“Walau bagaimanapun, saya berharap agar setiap kes yang dibicarakan tidak dilewat-lewatkan,” katanya.
Pada masa sama, Tun Musa berkata Sabah mempunyai kedudukan tersendiri dalam sistem perundangan negara berikutan kewujudan Sistem Sivil, Sistem Syariah dan Mahkamah Anak Negeri yang dapat berfungsi secara harmoni dalam sebuah negeri yang mempunyai kepelbagaian masyarakat, budaya serta latar belakang sosial.
Beliau berharap Simposium Kehakiman dan Perundangan Syariah Negeri Sabah 2026 yang mengangkat tema “Transformasi dan Reformasi Perundangan Syariah: Memacu Kecemerlangan Mahkamah Syariah Negeri Sabah” dapat menghasilkan resolusi dan cadangan yang bernilai untuk dilaksanakan melalui tindakan yang berkesan.
Beliau turut menyambut baik penerbitan Buku Penghakiman Syariah Sabah yang mengumpulkan koleksi alasan penghakiman Mahkamah Syariah Negeri Sabah.
Menurutnya, penerbitan itu dapat menjadi bahan rujukan penting kepada hakim, pengamal undang-undang, ahli akademik serta generasi akan datang.
Simposium itu turut dihadiri Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Datuk Mohd Arif; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Haji Aliasnih; Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Amat Arif Profesor Adjung Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain; Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bongsu Aziz Jaafar; serta Ketua Hakim Syarie Negeri Sabah, Yang Amat Arif Tuan Nawawi Diman.
Turut hadir Ketua Hakim Syarie Negara Brunei Darussalam, Yang Amat Arif Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato’ Paduka Seri Setia Haji Awang Salim Haji Besar dan Ketua Muda Kamar Pengadilan Agama Indonesia, Mahkamah Agung Republik Indonesia, Yang Mulia Dr. Haji Amran Suadi. – DAKWAT RAKYAT POST
